rap

Ambil masa setahun untuk 'hamba'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SELESA bekerjasama dengan komposer Hafiz Hamidun menerusi dua single terdahulu menyaksikan pelakon dan penyanyi Fattah Amin tampil dengan single terbaharu berjudul Hamba.

Fattah, 30, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin berkata, jika Kiriman Agung dan Sinar Selawat berkaitan dengan kelahiran puterinya, Nur Fatima Aisya, Hamba tulisan Mel Ramlan pula berkisarkan penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya.

"Asasnya mudah iaitu walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus asa. Sebagai hamba kita perlu terus berdoa dan bersujud kepada Allah supaya segala kesukaran yang dihadapi akan segera berakhir.

"Kelahiran lagu ini tepat dengan situasi semasa sedang dihadapi rakyat Malaysia yang berdepan pandemik Covid-19. Insya-Allah akan ada jalan keluar untuk semua ini," katanya.

Menurutnya, proses rakaman lagu ini dijalankan penuh berhati-hati dan teliti sehingga mengambil masa setahun dengan versinya ditukar lima kali.

"Saya nak buat betul-betul demi peminat. Kalau saya dapati ada bahagian yang tak berapa berkenan di hati, saya akan minta dibuat penambahbaikan.

"Bila dah betul-betul puas hati dengan hasilnya, barulah saya bersedia untuk melancarkan lagu itu. Tak mengapa lambat pun asalkan hasilnya memuaskan hati semua pihak.

"Selain faktor terbabit, proses rakaman juga banyak kali tertangguh disebabkan situasi pandemik yang dihadapi," katanya.

Istimewanya Hamba turut menampilkan penyanyi rap, Kmy Kmo bagi memberikan kelainan dan kesegaran kepada pendengar.

"Saya sentiasa memikirkan apakah kelainan yang boleh dibuat setiap kali mengeluarkan karya baharu. Memikirkan saya tak pernah bekerjasama dengan penyanyi rap sebelum ini, saya suarakan hasrat itu kepada Universal Music Malaysia.

"Menerusi perbincangan, mereka akhirnya memilih Kmy Kmo untuk berduet dengan saya. Dia menulis sendiri lirik dan mencipta melodi bahagian yang dinyanyikannya," katanya.

Walaupun tidak bertemu Kmy semasa rakaman, Fattah menyifatkan Kmy amat berbakat dan sebaik mendengar hasil kerjanya, terus menyukai apa yang dihasilkan.

Dalam pada itu, dia menafikan sudah beralih kepada genre nasyid dan mengatakan ini hanyalah eksperimen untuk mencabar kebolehan diri serta mahu menjadi penyanyi serba-boleh.

"Saya dah pernah buat lagu balada dan pernah bereksperimen dengan muzik saya menerusi lagu Bebas. Apabila menyanyikan lagu bergenre ketuhanan, bukanlah bermakna saya nak jadi penyanyi nasyid pula.

"Sebaliknya saya hanya nak mempelbagaikan genre muzik supaya orang tak bosan dan nampak statik," katanya yang merancang untuk mengeluarkan album mini menerusi perancangan dengan Universal Music Malaysia selepas ini.

Seperti orang lain, Fattah turut menghabiskan masa di rumah bersama isterinya Fazura dan Nur Fatima sepanjang tempoh penularan Covid-19.

"Nur Fatima kini berusia sembilan bulan dan dia hanya terperap di rumah. Selepas semua ini berakhir, saya teringin nak bawa dia pergi zoo.

"Ini kerana saya selalu bacakan buku berkenaan haiwan kepadanya, tapi dia sendiri tak tahu bunyi atau bentuk sebenar haiwan-haiwan kerana tak pernah melihatnya secara berdepan. Saya hanya mampu tunjuk menerusi telefon, buku dan televisyen saja buat masa ini," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2021 @ 6:31am
d