rap

'Ivana' bikin Tiara teruja

Oleh Najiy Jefri

SELEPAS hampir 17 tahun meninggalkan dunia lakonan, Puan Sri Tiara Jacquelina kembali mewarnai menerusi drama bersiri, Keluarga Baha Don musim ketiga.

Membawakan watak Ivana, Tiara mengakui watak jahat yang ditawarkan itu membuka pintu hatinya untuk membintangi drama komedi yang kini menemui penonton di platform penstriman Viu.

"Kali terakhir saya berlakon adalah dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL) The Movie pada 2004. Selepas itu tidak pernah terfikir akan kembali memegang watak baru. Mungkin tawaran datang tepat pada masanya ketika fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan saya pun tidak buat apa-apa.

"Apa yang membuatkan saya tertarik untuk menjayakan watak Ivana kerana ia berbeza. Produksi memberikan skrip berserta ilustrasi watak Ivana yang lengkap dengan kostum khas.

"Faktor lain membuatkan saya tidak mampu menolak kerana saya ingin cuba watak baharu. Saya tidak pernah membawakan watak jahat dalam drama genre komedi. Jadi, ini adalah peluang yang tidak seharusnya dilepaskan," katanya.

Menurut Tiara, sebagai seorang penggiat seni dia amat mementingkan kualiti dalam setiap hasil kerjanya dan mengakui produksi drama ini mempunyai hala tuju yang sama dengannya.

"Ketika melihat trailer drama ini, saya kagum dengan hasil kerja mereka dan tidak menyangka ia adalah hasil kerja produksi tempatan. Drama ini turut menampilkan ramai bintang hebat.

"Melihat kepada semua aspek ini, saya yakin keputusan yang dibuat tepat dan penantian peminat yang ingin melihat saya kembali berlakon juga berbaloi menerusi drama berkualiti seperti ini," katanya.

Bagi wanita berusia 53 tahun ini, biarpun kembali mewarnai industri lakonan, namun dia masih belum membuat keputusan untuk kembali aktif sepenuhnya.

"Setiap naskhah yang saya bintangi saya akan melihat jalan cerita dan watak yang ditawarkan. Berlakon memerlukan masa yang banyak dan saya pula akan mengambil masa lama untuk melakukan persediaan rapi.

"Buat masa ini, keutamaan saya untuk produksi Keluarga Baha Don," katanya.

Dihasilkan oleh Anomalous Films, Keluarga Baha Don berkisarkan keluarga yang boleh dianggap pelik apabila mempunyai perniagaan kulinari di sebalik jenayah terancang.

Musim ketiga siri itu memaparkan sambungan babak tergantung pada musim kedua di mana Bobby Bachan, lakonan Fikry Ibrahim mengeluarkan ancaman berat untuk memusnahkan Keluarga Baha Don.

Drama 10 episod itu menampilkan lakonan Remy Ishak, Khir Rahman, Jihan Muse, Susan Lankester, Othman Hafsham, Amy Mastura, Nam Ron dan Tony Eusoff.

Selain Tiara, drama berkenaan turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Elizabeth Tan dan Vicha Saywho.

Disiarkan pada: July 31, 2021 @ 6:15am
d