rap

Ancaman 'Bobby Bachan'

Oleh Najiy Jefri

SEJAK siri komedi mafia Malaysia pertama, Keluarga Baha Don menemui penonton pada Julai 2019 di platform penstriman VIU, rata-rata penonton memberikan maklum balas positif sehingga karya itu turut memenangi pelbagai anugerah di Akademi Kreatif Asia 2019.

Jalan cerita yang mengangkat tema komedi unik itu mencuit hati ramai untuk terus mengikuti kisah Keluarga Baha Don yang sarat dengan gelak tawa dan unsur mendebarkan pada setiap episod.

Memasuki edisi ketiga pada 29 Julai lalu, Keluarga Baha Don 3 sekali lagi bakal mencetuskan fenomena dalam mengangkat genre komedi serta penampilan barisan pelakon yang cukup berkualiti dan berbakat besar.

Berpeluang menonton Keluarga Baha Don 3 menerusi episod 1 dan 2 lebil awal, penulis yakin penonton pasti tidak akan bosan menantikan setiap babak yang punya cerita tersendiri dan babak lucu yang mencuit hati.

Kali ini, Keluarga Baha Don 3 bersambung daripada babak tergantung pada musim kedua di mana Bobby Bachan, lakonan Fikry Ibrahim mengeluarkan ancaman berat untuk memusnahkan Keluarga Baha Don.

Lakonan Fikry mempamerkan aksi yang baik pada musim ini dengan menampilkan watak aneh orang jahat serta kejam dan kerjanya sering mencari gaduh dengan keluarga Baha Don.

Musim ketiga yang mengandungi 10 episod ini akan menyaksikan Jo Don (Remy Ishak) menzahirkan elemen mafia dalam dirinya untuk menewaskan musuh ketat keluarganya, bersama barisan pelakon terkenal siri ini iaitu Khir Rahman, Jihan Muse, Susan Lankester, Othman Hafsham, Nam Ron, Tony Eusoff dan ramai lagi.

Pelakon baharu yang diperkenalkan termasuk Puan Sri Tiara Jacquelina, Elizabeth Tan, Vicha Saywho dan Datuk Jalaluddin Hassan juga bakal menambah seri komedi ini dengan watak mereka yang unik dan tidak boleh dilupakan.

Diterbitkan oleh Anomalous Films, Keluarga Baha Don boleh dianggap sebuah karya yang serba baharu kerana jalan cerita serta skrip yang dipamerkan begitu bersahaja dan moden serta mampu menambat hati golongan muda.

Pujian perlu diberikan kepada pihak VIU kerana sentiasa membawa pembaharuan dalam memperkenalkan karya tempatan di mata dunia. VIU sentiasa mencari kelainan baharu untuk sajian penonton.

Keluarga Baha Don boleh dikategorikan sebagai karya 'next level' apabila karya yang dihasilkan terbukti menghiburkan hati ramai penonton serta antara kandungan yang mampu memberi keceriaan di sebalik penularan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: August 5, 2021 @ 6:20am
d