rap

John Corbett, Bo Derek dah kahwin rupanya

Oleh Agensi

Los Angeles: Pelakon John Corbett, 60, mengejutkan peminat apabila mengumumkan sudah berkahwin secara rahsia dengan aktres sensasi Bo Derek, 64, pada sambutan Krismas, tahun lalu.

Menurut Hollywoodlife, perkara itu diumumkan oleh John ketika tampil sebagai tetamu program The Talk kendalian pengacara Jerry O'Connell baru-baru ini.

"Jerry, saya tak percaya yang saya lupa untuk beritahu anda yang pada Krismas lalu, kami sudah berkahwin. Bo dan saya akhirnya berkahwin," kata John.

Perkongsian John itu dibalas secara spontan oleh O'Connell.

"Saya perhatikan cincin anda, dan saya akan mengatakan sesuatu, tetapi tidak secara langsung di televisyen, tetapi wow. Tahniah," balas O'Connell.

Menurut John, mereka sudah menjalin hubungan selama dua dekad tetapi memutuskan untuk berkahwin pada tahun lalu ketika musim pandemik.

"Selepas 20 tahun, kami memutuskan untuk berkahwin. Kami tidak mahu tahun 2020 menjadi perkara yang dilihat dan dibenci oleh semua orang.

"Kami fikir mari kita keluarkan satu perkara yang baik," katanya lagi.

Dalam masa sama, John berkata, isterinya Derek lebih memilih untuk menjaga privasi apabila membabitkan kehidupan peribadi, namun rakan-rakan serta keluarga mengetahui mengenai perkahwinan mereka.

"Anda pun tahu, kami adalah orang yang sukakan privasi. Kami tidak membuat sebarang pengumuman. Semua rakan dan keluarga mengetahui tapi ini kali pertama kami kongsi kepada umum.

"Sebelum ini, kami tidak mempunyai kesempatan untuk kongsikan perkara ini," katanya.

Pelakon filem The Sex And The City itu mula menjalinkan hubungan cinta dengan Bo Derek pada 2002.

Derek membuat kemunculan pertama menerusi filem 10 pada 1979 dan tampil dalam beberapa siri TV serta filem seperti Bolero, Ghosts Can't Do It dan Tommy Boy.

Disiarkan pada: August 5, 2021 @ 10:27am
d