rap

Silap percaturan, penyamar dipilih!

Oleh Norhayati Nordin

SELEPAS bersiaran selama 12 episod, program hiburan popular setiap malam minggu di TV3, I Can See Your Voice Malaysia musim keempat (ICSYVMY4) sudah melabuhkan tirainya Ahad lalu.

Program rakaman di studio yang tiada penonton itu diakhiri dengan kemunculan penyanyi rock legenda tanah air, Amy Search sebagai selebriti undangan untuk cuba mencari penyanyi sebenar atau penyamar yang bersuara sumbang.

Bagaimanapun, sayangnya Amy tersalah percaturan apabila memilih penyamar iaitu Nur Hazirah Hashim, 19, seorang penuntut universiti swasta dalam jurusan Bimbingan dan Kaunseling untuk berduet dengannya. Oleh itu, gadis itu membawa pulang wang tunai RM3,000.

Amy berkata dia menganggap tiada rezeki memilih penyanyi sebenar dan pada masa sama gembira dapat menyumbang rezeki kepada Nur Hazirah.

Menurut Amy, itu adat permainan ada menang dan kalah.

"Apa-apa pun, saya sudah membuat yang sebaik-baiknya dalam program ini. Saya sangat terhibur dengan suasana santai, kelakar dan sedikit pun tiada tekanan. Saya memang 'enjoy' saja.

"Saya harap penonton juga terhibur. Pembabitan saya dalam program ICSYVMY4 ini memberi pengalaman baharu yang menghiburkan.

"Malah, bukan mudah sebenarnya untuk buat pilihan di antara penyanyi sebenar dan penyamar. Ia agak mengelirukan walaupun saya teliti dan tenang membuat keputusan. Apa-apa pun, bergantung rezeki juga," katanya.

Menurut Amy, dia berasakan peserta dipilihnya adalah penyanyi, namun keputusan dibuat silap apabila memilih penyamar bersuara sumbang.

"Saya gembira lihat Nur Hazirah ceria dengan kemenangannya. Dia juga 'sporting' ketika kami menyanyi duet. Malah, suaranya pun tidak sumbang sangat. Masih ada bahagian yang selesa didengar.

"Apa yang saya harap wang kemenangan itu dapat membantu Nur Hazirah dan keluarganya ketika pandemik Covid-19 ini. Ramai orang terjejas pendapatan, tapi untuk dia ada rezeki lain didatangkan oleh Allah," katanya.

Selain itu, Amy mengucapkan terima kasih dan berbesar hati dengan undangan diberikan TV3 yang menjemputnya menyertai ICSYVMY4 untuk musim ini. Katanya, program hiburan itu memang menceriakan.

Terdahulu, selebriti lain yang senasib dengan Amy apabila tersalah memilih penyamar ialah kumpulan Ruffedge, Azlan Typewriter dan Adira Suhaimi. Mereka gagal mengenal pasti siapa penyanyi sebenar.

Dihoskan oleh Sean LJE dan Shuk Sahar, perjalanann program ICSYVMY4 ini dari awal hingga akhir siaran sangat meriah. Ternyata gandingan Sean dan Shuk berjaya membentuk keserasian yang mantap.

Sehubungan itu, bagi membantu Amy mengenal pasti penyanyi atau penyamar sebelum dia membuat keputusan disediakan lima panel penyiasat iaitu Alif Satar, Jihan Muse dan Fad Bocey selain Ain Edruce serta Hazama.

Disiarkan pada: August 8, 2021 @ 6:47am
d