rap

Aisar Khaled mohon maaf terlajak perbuatan...

Oleh RAP HM

Kuala Lumpur: Pelakon dan pempengaruh, Aisar Khaled tampil memohon maaf selepas tindakannya menjadikan pemergian Allahyarham Siti Sarah sebagai kandungan dalam video YouTube.

Permohonan maaf itu susulan netizen mempertikai serta mengecamnya kerana tidak memikirkan sensitiviti serta kesedihan yang ditanggung keluarga arwah. Dia juga akhirnya memadam video terbabit.

Dalam kenyataannya, dia mengakui sangat menyesali tindakan itu kerana tidak berfikir panjang mengenainya.

"Saya sudah pun padam video terbabit. Saya minta maaf sangat-sangat atas tidak berfikiran jauh sebelum memuat naik video terbabit.

"Oleh hal demikian, saya tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Minta maaf lagi sekali, sedar kesilapan saya," katanya.

Menerusi videonya itu, Aisar dilihat turun dari kereta dinaikinya dan meluru ke arah pagar pusara tempat Allahyarham Siti Sarah disemadikan. Namun, dia kemudian berpatah balik berjalan ke kereta semula.

Penularan video terbabit sekali gus mencetuskan kemarahan ramai. Rata-rata netizen menyifatkan tindakannya itu sangat biadap serta menangguk di air keruh.

Video berkenaan juga meraih jumlah tontonan lebih 90,000 selepas empat jam dimuat naik. Ia juga mendapat lebih 10,000 tanda suka.

Disiarkan pada: August 10, 2021 @ 7:05pm
d