rap

Restoran Puteri milik Habsah Hassan dan Rubiah Suparman akhirnya ditutup

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan mengambil keputusan menutup operasi Restoran Puteri di Brickfields, di sini, yang dikongsi bersama pelakon veteran Rubiah Suparman bermula semalam.

Habsah berkata, restoran yang terkenal dengan masakan kampung sejak 1984 itu terpaksa dihentikan operasinya mulai semalam yang juga jatuh pada 1 Muharram 1443 Hijrah.

"Perniagaan kami, dua sahabat karib sudah melalui pelbagai cabaran sejak penubuhannya terutama dalam pertengahan 1980 dan 1997 ketika negara dilanda kegawatan ekonomi. Namun, ia berjaya diredah dengan jayanya.

"Sejak dua tahun lalu, keadaan perniagaan semakin hari semakin merosot berikutan penularan Covid-19 dan kemuraman ekonomi negara. Ia bertambah sukar apabila pemilik kedai langsung tidak melayani rayuan menurunkan kadar sewa sebanyak RM15,000 sebulan.

"Keputusan sedih ini terpaksa dibuat bagi mengelakkan hutang sewa terus tertunggak bulan ke bulan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Habsah ketika dihubungi mengakui keputusan ini sesuatu yang berat dan menyedihkan, namun mereka tiada pilihan lain.

"Pendapatan yang turun mendadak sejak hampir dua tahun ini menyukarkan kami untuk meneruskannya walaupun sudah cuba bertahan. Pendek kata berniaga hanya untuk membayar sewa kedai dengan gaji kakitangan saja, tapi akhirnya terpaksa mengaku kalah," katanya dengan nada sedih.

Habsah berkata, mereka kini mencari sesiapa yang berminat mengambil alih atau meneruskan operasi restoran ini.

Disiarkan pada: August 11, 2021 @ 6:00pm
d