rap

'Ramai tawar diri nak menyusukan Ayash Affan'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelawak Shuib mengakui sudah mula memikirkan mengenai penyusuan buat bayi diberi nama Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu selepas kehilangan isteri tercinta Allahyarham penyanyi Siti Sarah.

Shuib, 37, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, ramai pihak menawarkan diri untuk memberikan susu mereka termasuk pelakon Syatilla Melvin iaitu isteri kepada Shaheizy Sam.

"Memang mengenai susu ini buat saya termenung juga. Sebab sekarang doktor kata 'baby' minum susu tepung, tapi kalau ada susu ibu, boleh bawa ke hospital. Itu sudah soalan cepumas. Susu siapa pula nak bagi?

"Ramai orang yang tawarkan termasuk Syatilla pun ada. Apabila fikir semula, kena juga tahu orang itu minum apa nanti jadi ibu susuan. Saya tak tahu sangat, nak kena tanya ustaz dahulu," katanya pada majlis tahlil dan bacaan yasin untuk arwah isterinya secara virtual, semalam.

Dalam masa sama, Shuib berkata dia juga sudah mula terfikir bagaimana untuk menjaga kesemua anak-anaknya.

"Bangun tidur saya termenung sekejap. Terfikir kalau 'baby' sudah balik rumah, dia nak minum susu macam mana.

Teringat kata-kata arwah dia suruh saya yang jaga 'baby' sebab tak nak bersengkang mata.

"Sebab tiga anak kami sebelum ini memang dia yang banyak jaga. Masa itu terfikir kalau tak larat, dia masih ada. Tapi rupa-rupanya memang betul saya kena jaga seorang diri," katanya.

Terdahulu penyanyi lagu Kesetiaan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) pada Isnin lalu.

Allahyarham yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada Khamis lalu akibat tahap oksigen menurun kemudian ditidurkan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan pada Jumaat lalu.

Siti Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011 juga mempunyai tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Disiarkan pada: August 12, 2021 @ 8:16am
d