rap

Doa suami Siti Elizad untuk bertudung termakbul

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Setiap kali saya dan suami solat berjemaah, dia pasti selitkan doa supaya saya menjadi isteri yang sempurna, baik dan menutup aurat. Alhamdulillah selepas enam tahun dia menantikan detik ini, saya kini belajar mengenakan tudung perlahan-lahan," kata pelakon Siti Elizad yang akhirnya membulatkan hati untuk berhijrah ke arah yang lebih baik dalam penampilannya.

Elizad berkata, dia mula mengenakan shawl sempena Awal Muharam lalu selepas membuka satu bungkusan yang dibeli suaminya, Shamsul Baharin Rahman secara dalam talian.

"Saya dah lama pasang niat nak bertudung. Saya percaya semua wanita juga mahu berubah ke arah yang lebih baik cuma nak istiqamah ini yang menjadi ketakutan.

"Namun pada Selasa lalu, ketika saya membuka satu bungkusan tiba-tiba saya menerima beberapa koleksi shawl yang dibeli suami. Ketika menyarungnya, dia beritahu saya kelihatan cantik, tapi dia tidak pernah paksa saya selama ini.

"Alhamdulillah empat hari mengenakan tudung, saya rasa sangat selesa walaupun cara pemakaian tudung saya tidak begitu sempurna. Namun, sekurang-kurangnya saya cuba dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak. Saya memang dah lama nak pakai tudung tapi tiada kekuatan itu lagi. Lagipun bertudung ini wajib dan saya perlu pujuk dan paksa diri," katanya.

Menurut penyampai radio Sinar FM itu, dia bagaimanapun sedih apabila ada segelintir netizen yang mempertikaikan cara pemakaian tudungnya yang tidak sempurna.

"Sebelum nak kecam, saya ingin bertanya adakah mereka sudah sempurna kerana soal sempurna atau tidak hanya Tuhan saja yang tahu. Siapa kita nak hakimi orang itu sempurna atau tidak.

"Sepatutnya mereka ini mendoakan supaya saya terus istiqamah, tapi saya sedih mereka pilih jalan untuk terus kecam sekali gus akan membuatkan orang lain yang ingin berubah berasa tertekan.

"Ingatkan zaman perli ini sudah lama berlalu, tapi tak sangka masih ada manusia sebegini. Ada saja yang tak kena di mata mereka. Saya sudah tegaskan yang saya masih belajar secara perlahan-lahan. Saya tak suka bergaduh dengan orang, cuma pesan saya jangan melampaui batas sehingga menjatuhkan maruah," katanya.

Dalam masa sama, Elizad berkata, penularan Covid-19 juga memberi pelbagai hikmah kepada dirinya dan setiap insan.

"Sejujurnya pandemik ini sesuatu yang luar biasa. Ia juga mendekatkan kita dengan Allah SWT. Tak sangka pada waktu getir ini saya berjaya khatam al-Quran dan berpeluang berjumpa dengan ustaz serta ustazah untuk menimba ilmu.

"Sampai satu tahap saya segan jumpa mereka dalam keadaan saya begini. Saya fikir umur saya pun sudah 37 tahun dan zaman 'horay-horay' waktu muda dulu Allah sudah bagi," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2021 @ 1:41pm
d