rap

'Suka hatilah diorang nak muat naik apa pun' - Elfira Loy

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Hidup ini tak perlulah pertikaikan orang nak muat naik hantaran apa. Suka hati dialah," luah pelakon Elfira Loy selepas ditanya mengenai pandangannya terhadap segelintir artis yang memuat naik hantaran mengenai isu di Palestin tapi diam membisu berhubung kejadian yang berlaku di Afghanistan ketika ini.

Elfira berkata, terpulang kepada selebriti terbabit untuk memuat naik perkara yang ingin dikongsikan di media sosial mereka kerana apa yang dikongsikan dia sendiri yang perlu menanggungnya.

"Kalau salah muat naik hantaran dia juga yang kena. Bila tak muat naik pun kena juga. Cuma kalau seseorang minta artis itu untuk menulis fakta yang betul dan meminta pertolongannya untuk berkongsi tapi dia tidak mahu, itu boleh dibicarakan," katanya.

Menurut Elfira, sehingga sekarang dia tidak memuat naik sebarang hantaran mengenai Taliban yang menawan Kabul kelmarin, sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun Amerika Syarikat menduduki negara itu pada 2001.

"Ini kerana saya ada ternampak seorang selebriti yang memuat naik isu berkaitan Taliban. Kemudian ada seorang pengikut menulis komen supaya dia berhati-hati ketika memuat naik hantaran mengenai perkara yang bukan berkaitan Taliban.

"Jadi kita macam ragu-ragu sekejap. Takut, tapi apa yang sedang berlaku kepada mereka sangat-sangat menyedihkan. Dunia sedang sakit," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2021 @ 4:38pm
d