rap

'Itu subsidi upah, bukannya ambil rasuah atau rompak wang rakyat' - Mila Jirin

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Ada yang hantar mesej peribadi mendakwa saya ambil rasuah, rompak duit rakyat dan persoal apa istimewanya saya sehingga mendapat bantuan sebanyak RM76,000," kata penyanyi Mila Jirin yang kesal dengan hantaran dan komen segelintir netizen di media sosial yang memanipulasi kenyataan bantuan subsidi upah yang dikongsinya sebelum ini sehingga mengelirukan orang ramai.

Mila berkata, kebanyakan hantaran yang dimuat naik netizen di media sosial hanya menyatakan dirinya menerima bantuan bernilai RM76,000 tanpa menerangkan bentuk bantuan yang diterima daripada kerajaan pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Kebanyakan individu yang memuat naik hantaran di media sosial tidak memperincikan secara tepat apa yang saya kongsikan, malah komen-komen yang ditinggalkan pula mengatakan saya menerima bantuan bernilai RM76,000 sekali gus membuat andaian dan sudut pandang sendiri.

"Walhal menerusi perkongsian sebelum ini, saya beritahu saya antara majikan yang dapat bantuan subsidi upah. Bantuan ini memang majikan dapat untuk diberikan kepada pekerja-pekerja mereka mengikut kriteria yang ditetapkan.

"Malah setiap kenyataan yang dimuat naik di media sosial saya juga tiada kaitan atau berunsur politik. Saya hanya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan sebelum ini apabila mengenangkan apa yang mereka lakukan untuk bantu peniaga tempatan yang terjejas," katanya.

Sementara itu, Mila enggan mengulas lanjut mengenai tindakannya untuk memfailkan saman terhadap seorang lelaki berhubung isu itu selepas dinasihatkan peguamnya.

"Saya dinasihatkan peguam untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu. Saya anggap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Mungkin isu yang berbangkit ini dapat menjadi pengajaran kepada peniaga-peniaga dan pekerja bahawa ada subsidi upah yang boleh dipohon oleh majikan untuk membantu pekerja yang kemungkinan boleh hilang mata pencarian.

"Malah perkara ini boleh membuka mata pekerja bahawa bukan mudah untuk majikan memohon bantuan subsidi upah ini," katanya.

Terdahulu, Mila bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki susulan hantaran berunsur fitnah yang dimuat naik di Facebook, baru-baru ini.

Disiarkan pada: August 19, 2021 @ 3:41pm
d