rap

Syafiq Farhain bukan nak berahsia, lebih selesa relaks saja

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Syafiq Farhain mengakui sudah mempunyai kekasih, namun enggan berkongsi lanjut mengenai wanita pilihannya itu.

Syafiq, 27, atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, dia lebih selesa mengambil pendekatan untuk menjalani kehidupan bercinta itu secara relaks.

"Ya, saya memang sudah ada kekasih. Saya bukan nak berahsia dan tak nak beritahu, cuma lebih suka relaks saja. Kalau boleh tidak mahu hebohkan bagi tahu sudah ada kekasih.

"Kalau ada sesiapa tahu, biarlah dia tahu tapi tidak juga sampai tahap jangan beritahu orang lain. Bagi saya, tidak semua perlu tahu soal peribadi. Saya lebih suka berkongsi perkara lain seperti kerjaya," katanya dalam sidang media pertandingan E-Sukan Mobile Legend: Anonymoz Merdeka Challenge yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Pada sesi temu bual sama, penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku itu turut berkongsi mengenai hubungannya dengan ibu tirinya , Juriah@Julia Bachok selepas pemergian bapanya, Allahyarham Saleem yang juga penyanyi popular pada 2018.

"Minggu pertama selepas arwah tiada, masih ada krisis sikit tapi saya tidak ambil peduli sangat. Saya tak suka sangat dengan masalah.

"Alhamdulillah, selepas itu dan sampai sekarang ada juga berhubung tapi boleh dikira dengan jari. Kalau ditanya hubungan saya dengan keluarga sebelah sana, okay saja. Kalau di belakang saya tak tahulah," katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam pertandingan E-Sukan Mobile Legend: Anonymoz Merdeka Challenge yang bakal diadakan pada 29 sehingga 31 Ogos ini, Syafiq berkata, dia tidak sabar untuk menghiburkan peserta terbabit.

"Sebelum ini ada juga persembahan dalam talin, tapi sudah lamalah. Kalau sebelum Covid-19 pula, persembahan dalam dua kali seminggu.

"Kali ini lama juga tidak ada persembahan. Apabila ditawarkan untuk menghiburkan peserta pertandingan, rasa seronok sangat. Memang rindu. Walaupun secara dalam talian, tapi rasa gementar juga sebab sudah lama tak nyanyi depan orang. Kekok akan ada, harap tak buat silap," katanya.

Selain Syafiq, turut terbabit dalam program itu ialah penyanyi Harry Khalifah.

Disiarkan pada: August 23, 2021 @ 5:54pm
d