rap

Sheila Rusly buat laporan polis

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit, Sheila Rusly membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, hari ini berhubung artikel didakwa berbaur fitnah terhadap keluarganya yang disiarkan di satu akaun media sosial.

Sheila ketika dihubungi berkata, tindakan itu dibuat sebagai pengajaran kepada semua individu yang menyebarkan sesuatu fitnah tanpa usul periksa.

"Dia (blogger) tak ada menghubungi kami, sebaliknya suami saya (Jinggo) yang menghubunginya menerusi Instagram dan selepas itu barulah dia memohon maaf.

"Saya buat laporan polis kerana saya nak mereka tahu, tidak semudah itu untuk mereka melepaskan diri dan permohonan maaf itu tidak dapat kembalikan keadaan seperti sedia kala," katanya kepada Harian Metro.

Sheila berkata, sekiranya semua kesalahan boleh selesai dengan permohonan maaf, apa gunanya kewujudan mahkamah dan undang-undang.

"Apa saja yang berlaku termasuk fitnah dan apa yang mereka lakukan untuk merosakkan imej saya, kalau boleh selesai dengan memohon maaf, tak perlulah ada mahkamah.

"Jadi, saya berbincang dengan suami dan saya cakap, memang siapa yang buat salah, jalan paling mudah adalah dengan meminta maaf. Namun, adakah permohonan maaf itu dapat buatkan kita lupa akan perbuatan mereka yang saya anggap sebagai sesuatu yang keji kerana menjatuhkan maruah keluarga kami?" katanya.

Sheila juga berharap semua pihak mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku.

"Jadikan ini iktibar kepada semua, tak kiralah sama ada anda blogger, media, wartawan, portal hiburan, mahupun forum yang membincangkan dan membuka ruang untuk orang lain menyebarkan fitnah.

"Kalau tak pasti, jangan kongsi semata-mata untuk mendapatkan pengikut (follower) atau tontonan (view)," katanya.

Sheila berkata, ada antara netizen yang menulis komen berbaur fitnah sudah memadam komen-komen mereka. Namun, ada juga yang menggunakan akaun palsu.

"Dengan menggunakan akaun palsu, mungkin boleh melepaskan anda di dunia, tetapi Allah tahu walaupun saya tak kenal anda. Manusia suka bertindak tanpa memikirkan kesan yang akan dialami oleh mangsa buli siber itu.

"Jangan sampai perbuatan anda meruntuhkan keharmonian keluarga orang lain kerana semuanya akan berbalik kepada anda," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Sheila akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger terbabit yang didakwa menabur fitnah kepada keluarga, anak dan menantunya.

Ini berikutan tindakan mereka memuat naik kenyataan kononnya Sheila pernah 'mencadangkan' nama pelakon, Janna Nick sebagai calon isteri untuk anaknya, Uzair Haqimy tetapi ditolak Janna sebelum Uzair memilih pelakon Elisya Sandha.

Uzair dan Elisya melangsungkan pernikahan, Sabtu lalu.

Semalam, blogger terbabit turut membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagram berhubung isu itu.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 1:30pm
d