rap

Isteri Bad pergi jua...

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Kami semua sudah reda dan bersedia dengan segala kemungkinan," kata pelakon Badrol Shah atau Bad mengulas pemergian isterinya, Farah Shila Mazlan yang disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, pada jam 8.15 pagi, hari ini.

Bad, 39, yang popular menerusi filem Busut Bonang turut berkongsi berita kematian isterinya menerusi hantaran di Instagram @badrolshahmanan yang setakat ini sudah menerima lebih seribu tanda suka dan ucapan takziah daripada rakan-rakan artis.

"Isteri saya baru menghembuskan nafas terakhir di HKL selepas 45 hari bertarung Covid-19," katanya.

Bad berkata, dia masih berada di HKL untuk proses pengecaman jenazah dan belum pasti masa dan lokasi jenazah isterinya akan dikebumikan.

Terdahulu, berita kematian Farah Shila mencetuskan kekecohan apabila Bad menerusi media sosialnya memaklumkan isterinya disahkan meninggal dunia pada 10 Ogos.

Bagaimanapun, pada hari sama dia tampil membetulkan keadaan apabila memberitahu berlaku salah faham dalam perkara ini.

Bad menerusi kenyataan di Harian Metro berkata, dia dimaklumkan bahawa isterinya sudah meninggal dunia sebelum berkongsi berita itu di media sosial kerana itu cara untuk memaklumkan kepada kenalan-kenalannya.

"Jadi, andai kata ada sesiapa yang mengenalinya atau ada hutang piutang yang belum dilunaskan, mereka akan dapat tahu berita ini.

"Tapi, apabila malam semalam seorang doktor menghubungi dan maklumkan isteri saya sedang nazak, saya sendiri jadi keliru dan sudah berlaku salah faham," katanya.

Dia mengakui trauma dengan apa yang berlaku.

"Ada yang cakap saya menipu dan meraih simpati. Bukan itu niat saya. Saya jadi takut sampai sekarang pun saya masih menggeletar.

"Saya hanya sampaikan apa yang dimaklumkan oleh pihak hospital kepada saya. Setiap kali dihubungi, doktor juga berbeza-beza," katanya.

Allahyarham Farah yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat meninggal dunia selepas 45 hari bertarung dengan Covid-19.

Bad sekeluarga termasuk empat anak-anaknya sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan sudah selesai menjalani kuarantin di rumah pada 1 Ogos lalu.

Disiarkan pada: August 26, 2021 @ 11:21am
d