rap

Industri pawagam makin tenat

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Industri pawagam makin tenat!

Demikian senario dimaklumkan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) yang kini merayu kepada kerajaan supaya pawagam dibenarkan beroperasi semula.

Ia susulan kelonggaran aktiviti makan di restoran, sukan, rekreasi dan riadah tidak membabitkan kontak fizikal kini dibenarkan untuk individu divaksin penuh di kawasan-kawasan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Setiausaha MAFE, Sisubalan Ehambaram berkata, kebenaran operasi itu bukan saja akan membantu menjana ekonomi dan peluang pekerjaan, tetapi mampu meredakan tekanan kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Negara kita sedang berdepan krisis ekonomi dan kesihatan mental kerana langkah penutupan yang berpanjangan. Ia bukan saja menjejaskan kehidupan dan perniagaan, tetapi juga kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

"Jika aktiviti rekreasi dan riadah dapat memberi ketenangan kepada individu yang divaksin penuh, pawagam juga boleh berbuat demikian dengan selamat. Ini kerana kami mengenakan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka dan tidak membenarkan kontak fizikal. Ia termasuk menjarakkan tempat duduk dan melarang pergaulan ketika dalam pawagam," katanya.

Sisubalan berkata, kajian yang dilakukan Cinema Online baru-baru ini mendapati lebih 80 peratus penonton menyatakan bahawa pawagam membantu mengurangkan tekanan dan keresahan.

"Kami yakin bahawa adalah selamat untuk membenarkan penonton divaksin penuh kembali ke pawagam. Ini supaya kita dapat memulihkan kembali tahap kesihatan mental rakyat Malaysia di seluruh negara," katanya.

Selepas ditutup lebih setahun sejak Mac 2020 serta alami kerugian lebih RM600 juta, pengusaha pawagam kini berada dalam keadaan yang amat tenat.

Penutupan pawagam turut menggugat kehidupan lebih daripada 20,000 rakyat Malaysia yang bekerja di dalam industri filem dan pawagam.

Tahun lalu, syarikat pawagam MBO Cinemas sudah menamatkan operasinya.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 2:04pm
d