rap

Ali XPDC alami lemah jantung, semput

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Ingatkan nak buat pemeriksaan biasa saja, tapi terus kena tahan di wad," kata Ali penyanyi kumpulan XPDC yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), di sini, akibat lemah jantung dan mengalami masalah semput.

Ia mengulangi episod awal tahun ini apabila Ali, 53, atau Mohd Ali Ismail dikejarkan ke Hospital Shah Alam selepas mengalami kesukaran bernafas dan masalah jantung.

Ali berkata, dia mula mengalami semput sejak empat hari lalu.

Katanya, ketika dia pergi membeli sarapan di Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) berhampiran rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang, pengerusi surau itu menegurnya kerana keadaannya agak teruk dan sukar bernafas.

"Saya sebenarnya buat rawatan kampung, tapi rawatan hospital pun buat juga. Saya dah jangka apabila pergi ke hospital untuk pemeriksaan mesti kena tahan.

"Saya akan berada di wad untuk tempoh empat atau lima hari. Doakan mudah-mudahan tiada yang serius," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pemeriksaan lengkap akan dibuat oleh doktor untuk melihat bahagian jantung yang tersumbat.

"Mungkin ia hanya masalah kecil (minor). Apapun kita tunggu pemeriksaan yang dibuat. Saya minta peminat doakan Allah permudahkan segalanya. Sakit ini bukan kita nak tapi Allah datangkan untuk uji kita. Allah sayangkan kita," katanya.

Pada 26 Mac tahun lalu, Ali pernah melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah di rumahnya.

Penderitaannya mendapat perhatian ramai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang hadir menyerahkan bantuan bagi meringankan bebannya.

Sementara itu, Ali turut mengakui keadaan kewangannya ketika ini amat kritikal.

Sehubungan itu, dia turut membuat persembahan menerusi Instagram dan Facebook bagi memohon sumbangan orang ramai dan peminat.

"Assalammualaikum sahabat-sahabat. Jom berhibur sambil berinfaq. sudi-sudikanlah tuan yang mulia. Saya sedang mencari sedikit keperluan untuk perbelanjaan kehidupan di dalam musim Covid-19 ini agak sukar," katanya menerusi mesej berserta emoji sedih yang turut dihantar kepada wakil media.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 9:50pm
d