rap

Awas pelakon enggan divaksin!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penerbit syarikat produksi Radius One Sdn Bhd dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin memberi amaran kepada pelakon yang enggan mengambil vaksin supaya tidak membuat provokasi di lokasi penggambarannya.

Shahrulezad berkata, dia tidak mempertikaikan hak mereka yang enggan divaksin selagi kerajaan tidak mewajibkan semua rakyat Malaysia mengambilnya.

"Suka hati kamulah, tapi tolong jangan buat provokasi di set. Jangan bangga sangat memukul canang betapa megahnya dapat menyelit dalam produksi dengan sengaja mencetuskan provokasi yang kononnya tanpa vaksin pun kau boleh meloloskan diri sertai kami.

"Untuk apa tujuan provokasi itu? Hanya nak tunjukkan pada netizen yang Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), stesen TV serta penerbit tidaklah setegas mana? Hangat-hangat tahi ayam dalam melaksanakan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang sudah ditetapkan?" katanya.

Kenyataannya ini dikeluarkan sebagai mengulas hantaran Facebook pelakon Fauziah Nawi yang mendakwa ada penerbit yang menggunakan pelakon yang tidak divaksin secara senyap-senyap.

Fauziah turut membongkar rahsia ada pelakon yang mendabik dada boleh terbabit dalam penggambaran tanpa vaksin dan dengan bangga berkata jangan cemburukan mereka.

Menurut Shahrulezad, disebabkan kesombongan dan sudah pastinya kejahilan segelintir artis, habis semuanya terpalit sama.

"Untuk rakan penerbit, pengarah dan stesen TV, berhati-hatilah bila berurusan dengan artis-artis pendek akal macam ini. Nanti tidak pasal-pasal dengan kita sekali diheret menerima kecaman sama atas tuduhan kita seolah olah sengaja menutup mata sama.

"Paling seram hanya kerana seorang dua 'bimbo' yang degil ini, silap-silap kerajaan akan tarik balik kelonggaran untuk 'shooting' (penggambaran) yang baru diberikan ini," katanya.

Shahrulezad turut menasihatkan kru dan artis supaya melaporkan kepada penerbit sekiranya mendapat tahu ada dalam kalangan kru atau artis yang menipu dalam perkara ini.

"Kalau penerbit pun dua kali lima bersekongkol dan bersubahat sama, sila lapor kepada stesen TV atau Finas. Hanya disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

"Saya sebenarnya faham kenapa segelintir anti-vaksin sengaja buat provokasi bodoh sebegini. Ini semua mengenai kemarahan. Mereka marah bila mereka tak dapat sama keistimewaan dengan mereka yang sudah divaksin. Mereka marah bila dalam sekelip mata menjadi golongan minoriti yang mereka rasa hak mereka dinafikan," katanya.

Menurutnya, golongan terbabit turut menganggap diri mereka adalah mangsa ketidakadilan sistem.

"Bagi mereka hak minoriti adalah sama saja dengan hak majoriti dan tiada lebih atau tiada kurang. Label minoriti itu terlalu pahit untuk mereka terima sebab sebelum ini mereka sudah selesa dengan kelompok majoriti.

"Jadi pendirian enggan divaksin ini tiba-tiba mengubah mereka menjadi kelompok yang dianggap pengaruh negatif ini. Sebab itu mereka marah dan cenderung melakukan provokasi bodoh macam ini," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2021 @ 9:31pm
d