rap

'Tiada lagi sambutan hari lahir bersama'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Kebiasaannya September adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh pelawak Shuib Sepahtu dan isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin untuk meraikan ulang tahun kelahiran mereka bersama-sama.

   Shuib dilahirkan pada 12 September, manakala  Siti Sarah pula 15 September, hanya berselang tiga hari tetapi pada tahun yang sama, 1984.

  Namun, kini segala saat manis dan keriangan sambutan hari lahir itu hanya tinggal kenangan apabila Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos lalu.

  Menerusi hantarannya di Instagram, Shuib memuat naik gambar sambutan ulang tahun kelahiran pada hari ini yang diraikan oleh tiga anaknya.

   "Tahun ini tiada sambutan hari lahir bersama, 12 September/ 15 September 1984. 37 tahun yang tersangat luar biasa untuk Shahmira Bin Muhamad. Alhamdulillah, syukur di atas segala rahmat dan nikmat," tulisnya.

   Difahamkan sambutan itu dibuat semalam ketika Shuib membawa keluarganya beriadah di sebuah kawasan rekreasi air terjun susulan Lembah Klang kini beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

  Justeru, hantaran dibuat Shuib itu menerima lebih 300,000 tanda suka dari pengikutnya berserta ucapan ulang tahun daripada rakan-rakan artis seperti Elly Mazlein, Ajak Shiro, Sharif Zero dan ramai lagi.

   Tidak ketinggalan, Shuib juga menerima ucapan hari jadi istimewa daripada pendakwah terkenal, Ustaz Abdullah Khairi. 

  Terdahulu, sebulan lalu Shuib kehilangan isteri tercintanya, penyanyi Siti Sarah yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM selepas ditidurkan dan selamat melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan pada 6 Ogos lalu.

   Mereka berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan terbaru, Ayash.

 

 

 

Disiarkan pada: September 12, 2021 @ 8:00pm
d