rap

Amyra masih berguru

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Pelakon Amyra Rosli mengakui masih kekok mengendalikan program Nona di TV3 biarpun sudah terbabit dalam lima episod.

Amyra yang menggantikan tempat Mira Filzah selepas berkhidmat hampir tiga tahun berkata, dia masih menyesuaikan diri dengan kerjaya baharunya itu.

"Sebenarnya buat masa ini saya hanya menjalani penggambaran dalam studio berlatarkan skrin hijau (green screen). Saya belum berpeluang keluar lagi.

"Jujur saya cakap ini perkara baharu untuk saya. Masih banyak lagi kena belajar. Bermula episod pertama hingga kedua rasanya saya banyak kekurangan nak dibandingkan dengan bekas pengacara lain. Saya cuba juga berguru dengan beberapa pengacara lain. Mereka pun kata kadang-kadang 'green screen' mematikan kita sebenarnya sebab sudut kamera memang satu di depan dan satu lagi di tepi," katanya.

Menurut Amyra, dalam keadaan ini dia tidak mempunyai pilihan kerana kamera hanya tertumpu kepadanya.

"Bekas pengacara Nona, Fiza Sabjahan pun menjelaskan kadang-kadang kita rasa selesa bila menjalani penggambaran di luar kerana kita nampak apa yang kita nak cakap dan boleh bermain dengan sekeliling.

"Saya juga kena baiki banyak lagi aspek antaranya intonasi. Apapun itu satu cabaran dan tak kisah apa orang nak cakap," katanya.

Amyra berkata, dia juga belum pasti bila produksi Nona akan menjalani penggambaran di luar walaupun kerajaan sudah memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk industri kreatif.

Pelakon yang popular dengan drama bersiri Nur ini berkata, dia masih dalam pembelajaran dengan barisan pengacara hebat lain.

"Mengacara amat berbeza dengan berlakon kerana saya tak boleh 'adlib'. Nak tak nak saya kena sesuaikan juga dengan format Nona. Pengacara Nona perlu ada 'tone' suara yang sedap. Saya kena belajar benda ini. Saya masih tidak putus berguru dengan pengacara berpengalaman dan setiap minggu ada mesyuarat secara maya.

"Setakat ini pasukan produksi Nona sangat okey. Mereka buat penilaian apa kekurangan saya dan apa yang boleh diperbaiki. Saya pun cuba tak menghampakan mereka dengan buat yang terbaik," katanya yang sudah sebulan menjadi pengacara.

Disiarkan pada: September 13, 2021 @ 6:30am
d