rap

Ifa Raziah mohon doa, kesihatan ibu mentua kini tenat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon, penyanyi, dan pengacara sensasi, Ifa Raziah memohon semua pihak agar mendoakan kesihatan ibu mentuanya, Khizan Zain, 71, yang kini dirawat di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor akibat kerosakan buah pinggang.

Ifa yang dihubungi berkata, ibu mentuanya dikejarkan ke hospital semalam apabila keadaannya semakin tenat. 

"Mak sebelum ini ada kencing manis yang teruk, darah tinggi dan pernah dua kali nazak ketika di rawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Malah saya dah bawa segala kelengkapan seperti kain kapan sebagai persediaan, namun syukur pada Allah umurnya masih panjang. Dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL selama berbulan-bulan. 

"Namun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lalu, pihak hospital meminta kami membawa emak balik dan meneruskan rawatan di rumah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ifa, difahamkan HKL tidak boleh lagi merawat pesakit seperti ibu mentuanya kerana kes Covid-19 yang tinggi. Selain itu, keluarga pesakit juga tidak boleh melawat kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa pandemik.

"Bila bawa ibu mentua balik ke rumah, kami upah doktor datang merawatnya setiap hari, selain mengambil seorang jururawat peribadi untuk menjaga segala keperluannya.

"Empat bulan juga emak dirawat di rumah dan semalam, keadaannya agak teruk. Kami pun dah tak berdaya dan akhirnya minta tolong kawan-kawan sekiranya tahu hospital yang boleh terima pesakit.

"Ini kerana, kami difahamkan semua hospital di sekitar Lembah Kelang memang penuh dan kekosongan pula hanya ada di pusat perubatan di Shah Alam," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2021 @ 12:11pm
d