rap

Shiha cuba bakat jadi penyampai radio pula...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Shiha Zikir kini menggalas satu lagi tanggungjawab dalam cabang seninya apabila bergelar penyampai radio di stesen radio Era.

Shiha ketika dihubungi berkata, dia bukanlah penyampai tetap, sebaliknya menggalas tanggungjawab sebagai penyampai di stesen radio itu selama beberapa minggu akan datang.

"Bermula Isnin minggu lalu, saya memulakan tugas sebagai penyampai radio sementara di Era, bergandingan dengan dua sahabat saya iaitu Radin dan Danial.

"Pada awalnya, ia adalah gurauan semata-mata ketika saya 'mengganggu' siaran langsung kedua-dua mereka di Instagram. Tak sangka pula, saya dicabar dan dijemput untuk menjadi penyampai untuk segmen Petang Era," katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, Shiha juga ingin meneroka pelbagai perkara baru memandangkan dia sudah mencuba pelbagai cabang seni.

"Saya dah menyanyi, berlakon dan mengacara. Jadi, apabila diberi peluang untuk menjadi penyampai radio, saya anggap ini adalah rezeki yang tak boleh saya lepaskan.

"Apabila ditawarkan, kebetulan, beberapa penggambaran drama dan program TV masih lagi ditangguhkan. Daripada duduk saja di rumah, lebih baik saya buat sesuatu," katanya.

Shiha juga meluahkan rasa hormatnya kepada penyampai-penyampai radio profesional yang bekerja di konti kerana ia bukanlah tugas yang mudah.

"Saya hormat kepada semua penyampai radio kerana tugas sebagai penyampai radio bukanlah semudah yang disangka.

"Sebagai pengacara di kaca TV, orang dapat melihat visual dan gerak tubuh kita. Jadi, sebagai penyampai radio pula agak mencabar untuk saya bercakap dan meyakinkan pendengar supaya apa yang dikatakan itu, sampai kepada mereka," katanya. 

Disiarkan pada: September 16, 2021 @ 3:22pm
d