rap

Ashraf Muslim mohon doa, bapa 'ditidurkan' positif Covid-19 tahap lima

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Bapa pelakon Ashraf Muslim, Muslim Bulat, 67, terpaksa ditidurkan atau melalui prosedur intubasi kerana berada pada tahap lima selepas disahkan positif wabak Covid-19 pada Jumaat lalu.

Ashraf, 40, atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim berkata keadaan jantung lemah dan sebahagian organ dalam sudah rosak dan sedang dirawat di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.

"Ayah saya sedang melalui proses yang sukar sekarang ini. Jantung semakin lemah serta sebahagian organ dalam sudah rosak. Saya mohon sangat kepada ahli keluarga dan rakan mendoakan ayah agar kuat dan diberi kesembuhan dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Ashraf dalam hantaran di Instagram berkata, dia mengharapkan ada keajaiban berlaku terhadap bapanya untuk kembali sihat seperti sedia kala.

"Hari ini bangun tidur rasa sangat sayu. Puas pujuk hati ini tapi gagal juga. Memang pagi ini saya paksa diri untuk sampaikan berita ini. Saya mohon maaf dan meraih doa dari sahabat semua mendoakan ayah saya diberi kekuatan dan kesembuhan kepadanya. 

"Dalam hidup terlalu banyak pengorbanan yang sudah saya lakukan, tapi ya Allah saya belum sedia lagi untuk terima perkara yang tak diingini berlaku terhadap ayah. Apa yang diharapkan sekarang ialah keajaiban yang berlaku terhadap ayah kembali sihat seperti biasa. Allahuakbar, ya Allah bantulah kami semua," katanya.

 

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

     

  • Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 10:51am
    d