rap

Siapa pula godam YouTube Nabila Razali ni...

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Saluran YouTube rasmi penyanyi Nabila Razali, 28, menjadi mangsa godam dan sudah dipadam di platform penstriman video berkenaan, hari ini.

Pengurus Nabila, Mohd Asrul Abdul Talib berkata, saluran terbabit baharu dilancarkan setahun lebih dan sudah memiliki lebih 390,000 pelanggan.

Justeru, ia sangat mengecewakan kerana semua video penting dimuat naik dalam saluran terbabit dan sia-sia usaha keras selama ini untuk mengukuhkan saluran itu.

"Kami mendapat tahu mengenai hal itu pagi ini menerusi sebuah ciapan di Twitter. Seorang pengguna bertanya sama ada saluran itu bermasalah.

"Apabila memeriksanya, saluran itu rupanya sudah dipadam dari YouTube. Menerusi emel kami terima, saluran itu didakwa melanggar polisi kerana menyiarkan kandungan tertentu.

"Sayanglah jika hilang begitu saja kerana muzik video Peluang Kedua yang sudah ditonton 33 juta pun dalam saluran itu. Lagipun, ia baharu saja setahun diwujudkan," katanya.

Mohd Asrul berkata, mereka bagaimanapun kini dalam proses berunding permasalahan terbabit dengan pihak YouTube dan berharap dapat berjaya mendapatkannya semula.

"Sekarang pasukan kami bertungkus-lumus untuk mendapatkan semula saluran itu. Kami berharap dapat memperolehinya kembali berserta semua kandungan sedia ada.

"Rasa sedih pula kalau terpaksa buat saluran baharu, apalagi ada muzik video baharu nak dimuat naik dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Nabila turut menyatakan kesedihan mengenai dugaan malang itu menerusi Instagram. Dia turut berharap saluran YouTube itu akan diperolehi semula.

 

 

 

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 1:08pm
d