rap

Ika teruja buat terbaik

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun industri hiburan terutama kerjaya penyanyi terjejas teruk akibat Covid-19, namun kehadiran bakat baharu seni suara tetap ramai dan menjadi tumpuan.

Masih boleh dianggap umpama cendawan tumbuh selepas hujan, semestinya ada saja nama penyanyi baharu muncul bersama karya lagu masing-masing sekali gus terus mewarnai industri seni tempatan.

Terbaharu, rezeki berpihak kepada penyanyi dikenali Ika Mustafa. Setakat ini, jika disebut namanya mungkin masih kurang dikenali biarpun wanita ini sebenarnya sudah lama berada dalam bidang muzik dan aktif menyanyi.

Apatah lagi, sebelum ini Ika pernah menghasilkan beberapa single antaranya lagu Damaikanlah yang menjadi runut bunyi kepada sebuah drama popular di YouTube dan hingga kini mencatat sebanyak 665,000 tontonan.

Ika berkata, dia tahu dan sedar betapa situasi pandemik Covid-19 masa kini memberi banyak kekangan dan satu cabaran besar buat kita semua. Bagaimanapun, dia tidak mahu keadaan wabak yang menular ini menjadi penghalang buatnya untuk terus berkarya.

"Terus terang, saya yakin dengan bakat dan kekuatan dalam diri untuk menempuhi dugaan atau cabaran mendatang. Ini kerana saya ada menimba pengalaman ketika menjadi suara latar kepada lagu artis-artis di bawah komposisi Audi Mok.

"Justeru, saya amat gembira dan bersyukur apabila Audi dan Tysha Tiar sudi bergabung menghasilkan single berjudul Puja dan memberi saya peluang untuk merakam dan menyanyikan lagu ini. Saya amat teruja dan bersemangat untuk membuat yang terbaik.

"Malah, disebabkan amat menghargainya (peluang) saya juga tidak kisah perlu membuat rakaman single Puja ini secara sendiri di rumah. Selesai saja rakaman, hasilnya terus saya beri kepada Audi, Tysha dan juga Shazee Ishak yang bertindak sebagai penerbit," katanya.

Menurut Ika, dia mahu ketiga-tiga individu terbabit mendengarnya dan membuat penilaian. Katanya, jika masih ada yang kurang pada lagu Puja itu boleh ditambah baik untuk menjadikan ia lebih lengkap dan sedap didengar.

"Sememangnya pandemik ini benar-benar menguji kita semua, namun dalam masa yang sama membuatkan kita menjadi lebih kreatif. Saya pun sudah lama menunggu untuk melancarkan lagu baharu, namun asyik terhalang.

"Jadi, apabila dapat peluang sebegini dengan dibantu teknologi serba maju sekarang, saya tak nafikan ia membuat semuanya mudah dan menjadi kenyataan. Apa yang paling utama, saya kena yakin dan berani mencuba," katanya.

Kini, Ika mengakui dia berharap agar single Puja nyanyiannya itu berjaya menambat hati semua pendengar dan sekali gus memberikan sokongan kepadanya untuk terus berusaha sehingga betul-betul berjaya.

Bagi penggemar muzik dan lagu tempatan, single Puja kini boleh didengar di semua pelantar digital bermula 10 September lalu. Malah, lirik videonya juga sudah dilancarkan baru-baru ini dan dapat ditonton di saluran YouTube Alternate Records & Talents.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 6:10am
d