rap

Zack Taipan teringin bekerja semula

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Selepas lima tahun menghidap angin ahmar dan lumpuh bahagian kanan badan, pelakon Zack Taipan, 57, tetap menyimpan keinginan untuk kembali bekerja jika pulih semula suatu hari nanti.

Isterinya Siti Hajar Amaran berkata, semangat Zack atau nama sebenarnya Zulkifli Isa sangat kuat untuk terus menjaga kesihatannya sebaik mungkin.

"Alhamdulillah, keadaannya memang sihat-sihat saja sekarang. Walaupun pergerakannya terbatas, dia tetap akan cuba sedaya-upaya menjalani kehidupan seharian dengan penuh semangat.

"Kalau dia rasa ada sakit-sakit, dia serta-merta akan maklumkan kepada kami. Dia juga mengambil makanan tambahan tertentu setiap hari untuk memastikan kesihatannya terus terjaga.

"Dia ada juga cakap mengenai keinginannya untuk kembali bekerja seandainya sihat semula suatu hari nanti. Dia tak cakaplah nak berlakon balik tapi memang nak bekerja semula," katanya.

Disebabkan serangan angin ahmar, tangan dan kaki kanan Zack lumpuh sejak beberapa tahun lalu.

Siti Hajar berkata, suaminya ada juga menjalani rawatan fisioterapi sebelum ini.

"Sebenarnya dalam dua tahun juga dia jalani fisioterapi namun, berhenti selepas dia tidak melihat perubahan nyata. Selepas itu, adalah buat rawatan seperti akupuntur, urut dan terapi di rumah.

"Terbaru, anak nak bawa dia untuk jumpa doktor saraf pula. Bagaimanapun, dia belum terbuka hati kerana mungkin tak nak susahkan kami sekeluarga.

"Namun, kami tidak henti memberi semangat kepadanya untuk cuba pelbagai usaha. Mana tahu, dia akan dapat kembali sihat juga suatu hari nanti," katanya.

Dalam pada itu, Siti Hajar bersyukur suaminya ada menerima bantuan untuk perbelanjaan diri selepas tidak bekerja selain daripada keluarga.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 2:06pm
d