rap

Jenama Gerak Khas masih relevan

Oleh Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur:  Penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam memilih masih mengekalkan nama Gerak Khas untuk drama terbaharu terbitannya berjudul Gerak Khas Undercover yang mula ditayangkan Jumaat ini, jam 10.30 malam di TV3.

Yusof, 67, yang ditemui pada sesi sidang media drama itu secara virtual berkata, jenama Gerak Khas wajar dikekalkan kerana sudah begitu kukuh dan sangat dekat serta dikenali penonton sehingga berjaya diterbitkan selama 23 tahun.

"Pada awal penerbitan Gerak Khas dulu, seingat saya Erra Fazira masih sangat muda lagi. Sekarang, banyak sudah berubah. Apapun selepas tayangan Gerak Khas Finale di TV3 berakhir, permintaan untuk drama ini tetap ada dalam kalangan penonton. Cuma, seiring dengan peredaran zaman saya fikir perlu dihasilkan dengan suntikan nafas baharu.

"Justeru, mewujudkan kelainan dari segi jalan cerita, lagu tema juga ditukar baharu termasuk menggandingkan beberapa pelakon lama Gerak Khas terdahulu dengan muka 'polis baharu' yang dipilih kerana kesesuaian mereka untuk watak masing-masing, ia cukup membezakan karya Gerak Khas Undercover ini.

"Lagi pula idea untuk menghasilkan drama ini pun dicetuskan oleh anak saya, Syafiq Yusof yang mempunyai banyak idea baharu untuk jalan cerita yang nak diketengahkan. Saya jamin, ia tidak sama dan sangat berbeza daripada drama yang lalu," katanya kepada Harian Metro.

Yusof berkata untuk menghasilkan drama 30 episod ini juga, ia membabitkan ramai pengarah berkaliber yang dilihat cukup berbakat dan mahir dalam menghasilkan drama bercorak kepolisan dan padat aksi pertarungan.

"Apapun penggambaran drama Gerak Khas Undercover ini sudah dijalankan lebih dua bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun lalu. Alhamdulillah, setakat ini enam episod penuh dan boleh tayang sudah disiapkan.

"Selebihnya, sekitar lapan episod lagi hampir siap dan memerlukan ditambahbaik mana-mana babak yang lompang akibat PKP yang tiba-tiba dilaksana dan kita semua warga seni terpaksa berehat 'shooting' selama empat bulan," katanya.

Yusof memaklumkan drama Gerak Khas Undercover memerlukan tempoh beberapa bulan untuk menyiapkan penggambaran bagi episod lain yang tergendala sebelum ini. 

"Empat bulan tak 'shooting', saya tengok ada beberapa pelakon yang badan mereka semakin berisi. Jadi, nampaknya kena 'kecilkan' semula mana yang perlu bagi memastikan konti atau kesinambungan tak lari daripada episod sebelumnya.

Kesinambungan ini bukan hanya ditekankan pada jalan cerita, pakaian dan 'props', tetapi bentuk badan pelakon juga perlu diambil kira. Kalau sebelum ini kecil, tak bolehlah sekarang nampak terlalu berisi ," katanya lagi.

Sehubungan itu, antara barisan pelakon drama Gerak Khas Undercover ialah Erra Fazira, Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Salina Saibi, Elizabeth Tan, Raja Afiq dan ramai lagi.

 

Disiarkan pada: September 27, 2021 @ 8:21pm
d