rap

Zydee One Nation Emcees makin pulih

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Anggota One Nation Emcees, Zydee Idris, 40, yang sebelum ini kritikal akibat diserang angin ahmar kini sudah boleh bercakap dan menghubungi ibunya.

Seorang lagi anggota One Nation Emcees, Kozae Murtaza ketika dihubungi berkata, ingatan Zydee juga semakin menunjukkan perkembangan positif berbanding beberapa hari lalu.

"Alhamdulillah, Zydee sudah menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Saya baru saja menghubungi ibunya dan dia memaklumkan dihubungi Zydee dengan bantuan jururawat. Bagaimanapun, percakapannya masih lagi kurang jelas," katanya kepada Harian Metro.

Kozae berkata, dia akan menziarahi sahabatnya itu sekiranya diberi keizinan.

"Insya-Allah, saya rancang untuk menziarahi dan melihat keadaannya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua peminat dan rakan-rakan media yang mendoakan kesihatan Zydee," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Zydee mengadu sakit di bahagian kepala ketika makan malam bersama rakannya dan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Di hospital, dia dimaklumkan mengenai penyakit darah tingginya dan tidak lama selepas itu, dia diserang angin ahmar.

Kozae juga memaklumkan bahawa Zydee sebelum ini mempunyai sejarah penyakit asma yang kronik. Zydee kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah.

Disiarkan pada: September 28, 2021 @ 3:46pm
d