rap

Paduan tiga lagu hit

Oleh Najiy Jefri

Selepas mencipta nama menerusi single balada berjudul Sepi, penyanyi Aina Abdul kini muncul dengan buah tangan baharu berjudul AINA ABDUL.

Kelainan yang cuba dibawakan kali ini terserlah dengan gabungan tiga lagu hit miliknya sebelum ini iaitu Sumpah, Semalam dan Sepi.

Nama AINA ABDUL dijadikan sebagai judul single kali ini kerana menurut Aina, lagu dihasilkan itu bukan melodi baharu, sebaliknya gabungan melodi tiga lagunya yang diberi nafas baharu.

"Kali ini, saya terpanggil nak keluarkan single ini kerana mahu beri kelainan terhadap karya balada nyanyian saya.

"Pada awal pembikinan single ini, saya memang bekerja dengan 'pianist', Wong Sylvia untuk menghasilkan 'arrangement mashup' tiga lagu ini. Proses susunan semula lagu saja sudah makan masa satu minggu.

"Proses rakaman suara bagi karya ini pula disiapkan di bilik saya saja. Ini kerana studio saya ada di Seremban dan gabungan lagu ini dihasilkan ketika musim awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Segala proses seperti 'mixing' dan 'mastering' untuk lagu ini disiapkan oleh jurutera muzik saya di Seremban dan segalanya hanya disiapkan secara dalam talian dan komunikasi melalui e-mel," katanya.

Kata Aina, antara sebab utama dia menggabungkan lagu Sumpah, Semalam dan Sepi adalah untuk menceritakan emosi dirinya yang saling berkait rapat.

"Tiga lagu ini digabungkan kerana emosinya yang saling berkait dan sesuai untuk disatukan. Pada awal lagu dimulai dengan melodi Sumpah, diikuti Semalam dan diakhiri Sepi.

"Emosi daripada gabungan tiga lagu ini menceritakan figura wanita yang kuat, meskipun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran hidup dan perjuangan seorang diri. Sesuai dengan mesej Sumpah yang mengetengahkan hal kesihatan mental, Semalam pula fokus kepada konflik keretakan rumah tangga, manakala Sepi fokus mengenai 'self- empowerment', apabila saya jadikan kesusahan perjalanan karier seni sebagai tumpuan mesej utama.

"Alhamdulillah apabila tiga lagu ini digabungkan, hasilnya menjadi dan saya bangga dengan 'mashup' dibuat," katanya.

Beralih mengenai pembikinan video muzik, Aina berkata, dia sekali lagi bekerjasama dengan individu sama yang membuat video muzik Sepi.

"Saya bekerja dengan pasukan yang sama dengan produksi lagu Sepi iaitu VFX Muzik. Saya mendapat kerjasama padu daripada pengarah Holyblackrapunzel, pereka gaya Nazlivingastyle dan solekan Ahma Dhani.

"Idea VFX menjadi pilihan kali ini kerana ingin memberi kelainan terhadap koleksi video muzik yang saya dah keluarkan. Idea ini juga tercetus kerana PKP di seluruh Malaysia. Alhamdulillah, terhasil jua video muzik ini walaupun ada batasan pergerakan," katanya.

Aina berharap lagu AINA ABDUL yang kini boleh ditonton di saluran YouTube mendapat sambutan yang baik daripada pendengar dan peminat setianya.

"Saya mahu semua pendengar menerima karya ini dengan baik. Kelainan yang saya cuba bawakan ini harap diterima peminat muzik saya walaupun ini gabungan tiga lagu hit balada pernah dirakamkan.

"Saya harap pendengar dan peminat lagu balada saya akan teruja dengan kemunculan 'mashup' tiga lagu ini yang banyak kenangan manis sepanjang karier seni saya diberi perhatian ramai.

"Lagu ini bukan saja hadiah buat saya sendiri, tetapi buah tangan bermakna kepada semua peminat yang setia dengan perjalanan karier seni saya tanpa jemu memberi sokongan," katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2021 @ 6:44am
d