rap

Impak watak sisi 'hitam'

Oleh Najiy Jefri

PELAKON dan pengacara Shaza Bae mengakui momentum kerjaya seninya berlangsung agak perlahan memandangkan dia bermula ketika era pandemik Covid-19.

Kata Shaza, biarpun membolosi pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, namun dia belum rasa dirinya berada di tahap memuaskan.

"Selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja, seluruh dunia terus dilanda pandemik. Jadi, perjalanan kerjaya seni saya agak terbantut. Disebabkan itu, saya rasa seperti tidak layak dicalonkan lagi kerana belum cukup dikenali.

"Saya masih anggap diri saya hanya pelakon biasa, belum berada di tahap memuaskan. Melihat calon lain, semuanya sudah terkenal atas pencapaian menerusi kerjaya mereka sebagai pelakon, penyanyi atau sebagainya.

"Tapi, macam saya, masih ramai belum kenal lagi. Jadi, saya agak terkejut apabila dapat tahu nama berjaya membolosi pencalonan awal di ABPBH 34 ini," katanya.

Biarpun berasa nama dan bakatnya belum cukup kuat sebagai pelakon, namun kejayaan melakonkan watak antagonis sebagai Rossa Arabella atau Rosmisah Sukardi dalam drama Marry Me Senorita meraih perhatian ramai.

Kata Shaza, dia tidak menyangka ramai penonton begitu terkesan dengan watak sisi 'hitam' yang dibawakan itu.

"Karakter Rossa Arabella membuatkan penonton menyampah dan menyumpah seranah saya. Jadi, drama Marry Me Senorita dan Perempuan Tanpa Dosa menjadi faktor juga nama saya mula dikenali.

"Alhamdulillah, rezeki saya dalam lakonan juga tak putus selepas membinta

ngi dua drama ini. Malah, saya kini diberi kepercayaan menghidupkan watak utama menerusi drama Jangan Ganggu Jodohku arahan Jamal Khan," katanya.

Bakat Shaza tidak hanya terhad kepada pelakon semata-mata, sebaliknya wanita tinggi lampai ini turut diberi kepercayaan mengendalikan program berita hiburan HLive! dan terbaharu, Hero Remaja.

Kata Shaza, biarpun dihujani pelbagai tawaran, namun dia masih dalam proses pembelajaran dan perlu memperbaiki kekurangan diri.

"Bidang lakonan dan pengacaraan, karier yang disukai dan minat sudah ada dalam diri saya sejak kecil. Bahkan, program HLive! banyak membantu meningkatkan skil pengacaraan saya.

"Pada awalnya, saya rasa tidak terlalu bagus. Ia bukan bermakna sekarang saya sudah bagus, namun banyak ilmu yang dipelajari. Apapun, saya masih perlu perbaiki kekurangan diri dari semasa ke semasa.

"Apa yang saya mula peroleh sekarang ini dibina atas dasar usaha, selalu buat 'homework' dan minat. Apa saja yang dimiliki kini saya mengakui mempelajarinya dari pengalaman," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2021 @ 6:45am
d