rap

Fizo Omar nikah tahun ini?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Dia memang ada cakap nak kahwin, tapi tak tahu bila," kata ahli perniagaan yang juga bekas isteri pelakon, Fizo Omar iaitu Mawar Abd Karim.

Ia susulan timbul desas-desus mengatakan Fizo bakal melangsungkan pernikahan pada 21 Oktober ini.

Mawar ketika dihubungi berkata, bekas suaminya itu juga memaklumkan dia serius dengan perhubungan itu.

"Dia memang ada beritahu sedang berkawan dan serius dengan seseorang. Soal bila nak kahwin tu, dia hanya kata tahun ini dan dalam perancangan tapi tak tahu bila. Kira okaylah dia beritahu saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mawar, dia mendoakan yang terbaik buat bekas suaminya itu jika apa yang diperkatakan itu benar.

"Dia cakap lama dah soal ini. Saya kata okay dan syukur. Jadi, saya doakan yang terbaik buatnya. Semoga dapat belajar dari kesilapan, lebih matang dari segi keputusan. Sekali lagi, kita doakan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan Fizo tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej WhatsApp tidak berjawab.

Fizo dan Mawar bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 10 Julai 2019.

Mereka memiliki seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 2:47pm
d