rap

Penyanyi Floor 88 nikah bulan ini

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 24, mengesahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Nur Natasha Ahmad Nawawi, 23, di Masjid Ukay Perdana, di sini, pertengahan bulan ini.

Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah berkata, majlis itu bagaimanapun hanya diadakan secara kecil-kecilan dengan dihadiri anggota keluarga kedua belah pihak saja.

"Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan buat kami. Persiapan pun berjalan lancar dan kami turut mendapat tajaan daripada Hansmin Couture untuk baju nikah nanti.

"Kami memang rancang untuk sekadar langsungkan akad nikah dengan disaksikan keluarga saja. Tiada majlis atau keraian apa-apa kerana kami mahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kami turut memaklumkan kepada saudara atau rakan terdekat bahawa kami tidak dapat menjemput mereka disebabkan SOP itu," katanya.

Ayie mengakui dia teruja apabila dapat menamatkan zaman bujangnya walaupun pada usia masih muda.

"Saya dan tunang memang sudah lebih tiga tahun bercinta. Sudah sampai masa yang tepat untuk beralih ke fasa lebih serius memandangkan kami pun sudah sedia," katanya.

Ayie memaklumkan mereka tidak merancang untuk berehat daripada bekerja selepas bernikah nanti, apatah lagi rancangan berbulan madu.

"Beberapa hari selepas majlis nikah itu nanti, saya dan Floor 88 terus sibuk membuat penggambaran muzik video tiga lagu baharu kami. Saya pun bakal terbabit dalam telemovie serta program travelog.

"Memang jadual sibuk sehingga hujung tahun selepas dibenarkan kembali bekerja. Apapun, saya tetap akan cari masa senggang bersama isteri meluangkan masa bersama sebagai pengantin baharu nanti," katanya.

Ayie dan Nur Natasha atau Tasha bertunang pada 2 Januari lalu. Mereka juga bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk perniagaan restoran Ayie Elham Cafe di Setapak, di sini.

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 4:39pm
d