rap

Najwa Latif sambung PhD

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Najwa Latif, 26, menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 26, mengakui misinya tidak lain untuk tidak berhenti mengejar ilmu selain memajukan diri sebagai seorang pendidik.

"Saya percaya semakin kita belajar, semakin kita sedar betapa sedikitnya ilmu yang kita tahu. Ilmu itu sangat luas dan takkan pernah ada penghujung.

"Walaupun habis PhD nanti, saya rasa saya masih akan nak terus belajar dan belajar lagi. Semua ini untuk kepuasan diri dan memajukan diri sebagai pendidik serta individu.

"Saya bersyukur dapat peluang sambung belajar lagi masih terlalu seronok. Tapi ini permulaan baharu untuk terus memperbaiki diri dalam subjek yang sangat saya cintai, TESL," katanya.

Najwa yang juga seorang pensyarah berkongsi, dia masih dalam proses untuk menentukan penyelidikan apa mahu dikaji bagi tesisnya nanti.

"Setakat ini, saya nak fokuskan penyelidikan dalam lapangan pembelajaran bahasa Inggeris menerusi platform dalam talian, tapi masih belum bincang dengan penyelia. Belum diputuskan lagi disebabkan saya baru saja tamat hadiri taklimat pengajian minggu ini," katanya.

Walaupun pengajiannya baru bermula, penyanyi lagu Kosong ini tidak menafikan cukup teruja memikirkan gelaran doktor bakal diperolehnya nanti.

"Tempoh pengajian dijangka dalam tiga hingga enam tahun. Jauh lagi perjalanan nak dapat gelaran itu namun saya rasa dapat bergelar doktor adalah pencapaian luar biasa untuk saya yang pernah tak minat akademik.

"Sekarang, saya lebih fokus nak buat tesis yang bagus sebab tak semua orang dapat peluang ini. Jadi saya nak gunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu, Najwa menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM), pada 2019.

Disiarkan pada: October 8, 2021 @ 4:37pm
d