rap

Adam Corrie 'dicop' sombong, dah jadi ustaz?

Kuala Lumpur: Pernah dilabel sombong kerana tidak bersalam dengan wanita, pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 52, mendedahkan perubahannya itu mengambil masa untuk diterima orang sekeliling.

Adam Corrie berkata, dia tidak menafikan itu antara cabaran awal dihadapinya sewaktu baharu memeluk Islam, 14 tahun lalu. Namun, dia nekad demi berubah ke arah lebih baik.

"Saya teringat dulu ketika awal pengislaman, saya masih lagi berjabat tangan dengan wanita. Tapi selepas sudah berkahwin, bidadari saya (isteri) maklumkan bahawa orang Islam tak boleh bersentuhan dengan berlainan jantina, haram.

"Pada awalnya memang agak sukar untuk mengelak dari peminat dan rakan artis wanita yang hulurkan tangan untuk bersalam. Lama-lama saya rasa, perlu berani buat perubahan demi kebaikan. 

"Jadi apabila rakan atau peminat wanita saya selalu hulur tangan untuk berjabat tangan, saya terpaksa kata 'minta maaf' sambil tangan letak di dada," katanya.

Menurutnya, perubahan itu diterima baik ramai namun tidak terkecuali turut mendapat pandangan sinis.

"Ada yang terima dengan baik, ada yang kata sombong, ada kata sudah jadi ustazkah? Dan macam-macam lagi. Makan masa juga untuk buat perubahan dan orang sekeliling terima perkara baik ini, selepas empat tahun. 

"Saya faham, budaya bersalaman ini sudah diterapkan sejak dulu lagi sebagai tanda hormat. Tak kisahlah lelaki atau perempuan, perlu bersalam. Kalau tak bersalaman dikata kurang ajar, tiada adab.

"Tapi sebenarnya budaya bersalaman dengan bukan mahram ini tak sesuai dalam Islam. Jadi sekarang rata-rata mereka sudah faham, sebab saya tidak berjabat tangan dengan wanita bukan mahram," katanya.

Pelakon filem KL Gangster 1 dan 2 itu juga mengakui perubahan sebegitu cukup bermakna untuk dirinya meskipun mungkin kelihatan kecil atau remeh di mata sesetengah orang. 

Adam Corrie berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad, 43, pada 2008 dan mempunyai seorang anak bernama Adam Fateh Lee.

Pada 2017 lalu, dia pernah dipilih sebagai 'Tokoh Saudara Kita' peringkat Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1439.  

 

 

 

Disiarkan pada: October 13, 2021 @ 11:30am
d