rap

Kupas kisah Vash

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Sebagai sebuah syarikat penjana kewangan kandungan dan pengurusan hak media yang tertumpu kepada pasaran baharu, 108 Media menyenaraikan syarikat penerbitan premium naungan Zainir Aminullah dikenali sebagai Revolution Media sebagai penerbit bersama untuk siri aksi-jenayah asli mereka berjudul I Am Vash.

Siri menarik yang bakal memulakan penggambaran pada Mei tahun depan ini membariskan dua pelakon terkenal tanah air iaitu Sangeeta Krishnasamy yang pernah menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 untuk watak utama sebagai Vash dan Bront Palarae pula memainkan peranan Rahman.

Berkisar kisah bandar Pelabuhan Klang yang dipenuhi jenayah sekitar 1970-an, ia dinaungi watak Vash iaitu pegawai polis wanita yang sentiasa menghadapi tekanan masyarakat dan politik sambil cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kerjayanya. Kes itu membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara untuk memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap Asia Tenggara.

Projek yang menampilkan Adrian Teh sebagai pengarah ini diterbitkan oleh beberapa penerbit eksekutif seperti Justin Deimen, Abhi Rastogi serta Micah Tadena dari 108 Media bersama Zainir dan Anne Low mewakili Revolution Media. Tidak terkecuali, ia disertai juga oleh pasukan penerbitan dan kreatif yang menjangkaui rantau Asia Tenggara dan Los Angeles, terdiri daripada David Chang, Choong Chi-Ren, Tony Pietra Arjuna, Justin Wong, Shern Chong dan Leon Tan.

Pengarahnya, Adrian yang pernah menghasilkan beberapa filem fenomena seperti The Wedding Diary, Paskal dan Wira berkata, dia bersemangat dengan latar belakang unik pasukan dalam projek ini.

"Watak utama diterajui kaum minoriti dengan premis zaman retro berserta aksi. Ini sesuatu yang sangat mencabar buat saya sebagai pengarah. Sudah tentu, saya mahu turut serta dalam projek ini," katanya.

Sangeeta pula berkata, dia juga begitu teruja untuk terbabit dalam projek siri itu dan seterusnya melakonkan watak utama, Vash.

"Saya sangat teruja kerana dapat terbabit dalam projek yang tertumpu pada satu zaman di mana sistem kehakiman jenayah tempatan menghadapi cabaran terbesar dan kisah terkenal dalam sejarah negara. Saya lebih gembira bahawa ia dinaungi seorang protagonis wanita, sekali gus meraikan tempat wanita dalam pasukan beruniforn," katanya.

Sementara itu, Bront yang juga antara pelakon terbaik dan paling banyak menerima anugerah di Asia Tenggara memaklumkan dia juga bersedia menghulurkan pengalaman lakonan dimilikinya kepada pihak penerbitan.

"Saya sangat teruja untuk beraksi dalam I Am Vash, sambil menghidupkan kisah benar serta watak Asia Tenggara buat tontonan dunia. Apatah lagi, saya diberi peluang bekerjasama dengan pasukan dari 108 Media serta Revolution Media yang saya yakin akan menjadikannya satu pengalaman luar biasa," katanya.

Presiden Penerbitan 108 Media, Justin Deimen berkata, naskhah ini bakal mengupas maksud mendalam kisah Vash.

"Watak seperti Vash ini sangat penting bagi kaum minoriti dan komuniti serantau untuk diketengahkan. Malah, ia pula dimainkan pelakon wanita berbakat besar seperti Sangeeta yang akan menaikkan lagi semangat pasukan kami.

"Menyatukan unsur budaya dan komersial boleh menjadi satu titik pendorong buat kemunculan pergerakan baharu yang dapat melahirkan kandungan serantau dan mampu meliputi pasaran antarabangsa. Saya yakin penonton akan memberikan maklum balas luar biasa terhadap cita rasa dan misteri dalam siri ini, selain unsur era serta latar belakangnya yang tidak dilupakan," katanya.

Begitu juga pandangan Zainir yang pernah menjadi penerbit eksekutif beberapa projek global seperti Dirk Gently dan The Ghost Bride turut sama memberikan pendapat peribadinya berkenaan cita-cita kreatif projek ini.

"Malaysia sekitar 1970-an adalah era dengan pelbagai detik penuh sensasi. Justeru, I Am Vash adalah sebuah kisah yang menakjubkan disulami adegan benar yang pernah berlaku dan kami begitu teruja untuk membawanya ke layar tontonan ramai," katanya.

Diilhamkan oleh peristiwa bersejarah, watak ikonik dan wira nyata siri penuh aksi ini digarap dengan sebaiknya oleh panel penulis 'lintas-sempadan' buat tontonan penduduk tempatan serta antarabangsa dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di samping dimuatkan juga bahasa Tamil dan dialek bahasa Cina.

Syarikat 108 Media berpangkalan di London dan Singapura dengan pejabat jualan serta penerbitan utama di Toronto, Los Angeles, Tokyo, Kuala Lumpur serta Manila ini akan menanggung kos kewangan serta menerbitkan projek ini melalui bahagian penjanaan kewangannya ke arah pasaran antarabangsa berlandaskan fokus utama untuk memperkasa penciptaan karya seni baharu dengan harta intelek yang merentas budaya.

Revolution Media pula akan membangunkan serta menerbitkan bersama siri ini adalah sebuah syarikat pembangunan dan penerbitan yang berpusat di tanah air dengan rangkaian projek bersiri dan filem di Amerika Utara, Australia, Indonesia serta Malaysia.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 6:49am
d