rap

Karyawan dakwa Sheila Majid, RPM guna dana RM2.9 juta

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mendakwa Datuk Sheila Majid dan ahli lembaga pengarah Recording Performers Malaysia (RPM) menyalahguna dana RPM sebanyak RM 2.9 juta.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, aktiviti ini berlaku seminggu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) RPM pada 28 September lalu.

"Laporan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat SPRM, Putrajaya jam 11 pagi semalam.

"Pembayaran sebanyak RM 2.9 juta secara sama rata kepada semua anggota yang didaftarkan seminggu sebelum AGM mungkin boleh ditafsirkan sebagai percubaan lembaga pengarah untuk membeli sokongan daripada ahli untuk menentukan mereka terpilih dalam AGM.

"Sejak akhir 2020, RPM mempunyai RM21 juta wang ahli dalam akaun bank mereka tapi hingga September tahun ini, tidak ada usaha untuk mengagihkan wang itu kepada ahlinya dengan cara betul menurut laporan penggunaan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, adalah jelas bahawa RPM tidak memiliki kompetensi yang diperlukan atau kakitangan untuk melakukan pengagihan itu.

"Namun, ketika desakan ahli untuk mereka berundur jadi semakin kuat menjelang AGM pada 27 September lalu, mereka bukannya mengagihkan royalti secara telus mengikut laporan penggunaan.

"Malah lembaga pengarah sudah membuat keputusan untuk memberikan royalti sama rata sebanyak RM1700, kepada lebih kurang 1500 ahlinya.

"Ini dilakukan seminggu sebelum mesyuarat agung dan menimbulkan tanda tanya. Ia dilihat sebagai tindakan oleh lembaga pengarah untuk pertahankan kedudukan mereka dan boleh ditafsirkan sebagai penyalahgunaan dana syarikat untuk mempengaruhi proses pengundian," katanya.

Freddie berkata, perlu diingatkan bahawa seminggu sebelum mesyuarat agung itu, lebih dari 240 ahli sudah menandatangani resolusi yang meminta agar seluruh ahli lembaga pengarah berundur dan diadakan pemilihan baharu.

"Sheila sebelum ini juga sudah dikritik sekeras-kerasnya kerana gagal menyelesaikan masalah berkaitan dengan royalti artis walaupun sembilan tahun memegang jawatan pengerusi di RPM.

"Dia juga dikritik atas kegagalannya menghadiri pertemuan yang dipanggil oleh Menteri yang ingin menyelesaikan masalah royalti artis.

"Sehingga sekarang masih ada banyak masalah yang belum diselesaikan dan setakat ini tiada sebarang tindakan yang jelas diambil oleh Sheila atau lembaga pengarahnya untuk menyelesaikannya," katanya lagi.

Menurut Freddie, tindakan terbaharu ini mengeruhkan lagi keadaan kerana ia jelas melanggar prinsip dasar organisasi pengurusan kolektif seperti RPM, yang objektifnya adalah untuk mengutip royalti dari pengguna dan memberikannya kembali kepada anggota yang muziknya digunakan oleh mereka yang sudah membuat pembayaran royalti.

"Mereka yang muziknya tidak muncul dalam laporan penggunaan seharusnya tidak berhak mendapat royalti.

"Namun apa yang kita lihat di sini adalah kes di mana seorang 'pengerusi' dan lembaga pengarah yang menghadapi tuntutan pengunduran diri dari ramai ahli memutuskan untuk mengambil RM2.9 juta dari akaun bank syarikat dan mengagihkannya secara sama rata kepada semua anggota yang didaftarkan seminggu sebelum AGM.

"Mereka melakukan ini tanpa berusaha untuk mengenal pasti ahli mana yang berhak mendapat royalti dan mana yang tidak.

"Ini bermaksud bahawa mereka menggunakan wang milik ahli yang berhak mendapat royalti untuk membuat pembayaran kepada mereka yang tidak berhak mendapat royalti," katanya.

Freddie berkata, ini adalah pelanggaran yang jelas terhadap peraturan kutipan dan pengagihan royalti dan dapat dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan untuk diri mereka dan memastikan pemilihan mereka semula menjadi lembaga pengarah.

"Kami sudah meminta bantuan SPRM untuk menentukan jika ada unsur-unsur rasuah oleh Sheila dan pengarah yang lain, termasuk jika perlu membuat dakwaan terhadap mereka jika keadaan memerlukan," katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 4:36pm
d