rap

Dakwaan kontroversi Kim Seon-ho masih disiasat

Oleh Agensi 

Seoul: Agensi Salt Entertainment kini dalam proses menyiasat kebenaran khabar angin terbaharu mengaitkan pelakon Kim Seon-ho, 35, yang didakwa seorang tidak bertanggungjawab selepas pengakuan berani dibuat seorang netizen.

Menurut kenyataan rasminya, agensi terbabit memohon diberi masa untuk mengumpul maklumat terperinci di sebalik dakwaan sensasi itu sebelum mengesahkan kebenarannya.

"Kami dengan rendah hati memohon maaf kerana tidak memberikan maklum balas secepatnya. Kami kini masih menyiasat sumber fakta daripada hantaran dibuat oleh individu tidak dikenali itu.

"Memandangkan belum ada sebarang pengesahan mengenai kebenarannya, kami dengan ikhlas memohon anda semua untuk menunggu seketika. Maaf kerana cetuskan kerisauan mengenai isu tidak enak ini," katanya.

Semalam, industri hiburan Korea Selatan heboh selepas seorang wanita dikenali sebagai 'A' memuat naik hantaran menuduh seorang pelakon lelaki dikenali 'K' adalah talam dua muka dan buruk perangai.

Sejurus itu, nama Kim Seon-ho tiba-tiba terpalit dan didakwa dia adalah 'K yang dimaksudkan wanita berkenaan. Kebetulan, siri dibintanginya Hometown Cha-Cha-Cha baharu saja melabuhkan tirai dengan kejayaan luar biasa.

'A' mendedahkan pernah bercinta dengan 'K' sebelum putus lebih empat bulan lalu. Menurutnya, pelakon itu adalah lelaki tidak guna dan tiada hati perut.

Menurut wanita itu lagi, dia pernah hamil hasil hubungan dengan pelakon terbabit namun, dipaksa menggugurkan kandungannya. 'K' juga berjanji mahu mengahwininya namun ia sekadar janji palsu.

'A' turut menuduh 'K' adalah seorang yang obses mengejar wang dan kejayaan. Bahkan, dia tidak rasa bersalah pun apabila ramai orang sekelilingnya terpaksa berkorban dan selesa mengambil kesempatan terhadap mereka.

 

 

 

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 6:03pm
d