rap

'Jadi juri program lawak bukan sekadar bergelak tawa' - Sabri Yunus

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus berpendapat pembabitan juri yang bukan terdiri daripada pelawak perlu sedar fungsi dan peranan mereka berbanding sekadar datang untuk bergelak tawa.

Sabri berkata, pelawak yang bertanding wajar untuk dinilai daripada pelbagai aspek termasuk pemikiran dan kandungan yang diketengahkan. 

"Nilai pada setiap pertandingan terletak pada penjurian. Apabila, jadi juri ini sangat penting untuk membawa maruah pada acara itu dan juga kepada peserta.

"Saya berpendapat dalam soal ini tidak semestinya 100 peratus hanya pelawak yang layak untuk menjuri pertandingan lawak, kerana ada seorang pun sudah memadai. 

"Ada juga pelawak yang saya kira tidak mampu melihat dari kaca mata seorang juri. Ini juga memberi masalah kerana apa yang penting ada nilai yang baik dan bijaksana pada pemikiran.

"Saya  percaya dari sudut maruah lawak juga harus diambil kira kerana orang yang bukan pelawak tapi punya pemikiran yang baik tentang dunia lawak, ada visi dan harapan yang baik pada perkembangan dunia lawak pun bagus diangkat sebagai juri," katanya.

Menurut Sabri, juri yang terdiri daripada selebriti popular tidak seharusnya dijadikan satu 'trend' sebaliknya peranan yang dibawakan perlu membuka pemikiran pelawak ke arah lebih baik.

"Kalau dianggap ini satu 'trend' saya fikir penjurian tidak perlu dijadikan satu 'trend'. Saya kira pihak penganjur harus sedar pada setiap penganjuran program itu, apa yang dicari mereka.

"Contohnya tahun pertama hingga tahun ke tiga, apa yang dicari? Tahun seterusnya apa lagi dan begitulah. Bahkan, peserta pun rata rata orang yang sama dan mereka harus dituntut untuk lebih baik.  

"Sekiranya juri mampu membuka pemikiran peserta mungkin mereka boleh berubah. Andai juri ada kelemahan untuk memberi pandangan yang boleh menggerakkan pemikiran , idea dan persembahan dari semasa ke semasa kita akan dapat rasa ada peranan juri. Percayalah, komedi bertolak daripada daya pemikiran," katanya.

 

 

 

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 7:36pm
d