rap

Urban Method 'keluar gua'

Oleh Georgie Joseph

Lebih sedekad lalu, kumpulan hip hop ini pernah menggegarkan industri muzik tanah air. Lagu Wajah Rahsia Hati duetnya bersama Fauziah Ahmad Daud atau Kak Ogy menjadi siulan ramai ketika itu.

Bagaimanapun, Urban Method kemudian menyepi selepas memutuskan untuk membawa haluan hidup masing-masing. Bukan berpecah, sebaliknya mereka ingin menumpukan kepada karier tetap dan membina keluarga.

Dalam tempoh itu, rasa cinta Mahadhir Mohd Ismail, 39, Mohd Munawir Anuar atau Munaweer, 40, Hazairi Basha Jamel Basha (Jay), 39, Muneer Khan Nazir, 37, dan Ahmad Sayuti Ibrahim (Chique), 39, pada nyanyian tidak pernah pudar. Rindu mereka terhadap muzik sentiasa menyala dalam hati.

Disebabkan itu, kumpulan terbabit akhirnya sepakat untuk membuat kemunculan kembali bagi mengubat kerinduan sendiri dan paling utama buat peminat. Muneer menyifatkan sekarang adalah waktu paling tepat untuk Urban Method kembali aktif.

"Sebenarnya antara faktor membuatkan kami terdetik untuk aktif semula adalah disebabkan mesej peminat di media sosial meminta buat kemunculan kembali. Memang ada perancangan pun untuk kembali hidupkan Urban Method ini.

"Namun, paling menyakinkan kami adalah selepas mendapat sokongan padu daripada rakan industri termasuk Damian Mikhail, Joe Flizzow, Altimet dan Nico. Mereka memberikan kata-kata semangat yang buat kami rasa lebih berkobar-kobar.

"Lagipun, sekarang kami semua pun sudah memiliki kehidupan yang stabil dan masing-masing sedia untuk aktif semula. Jadi, kami rasa sekarang masa paling tepat untuk aktifkan kembali karier seni," katanya.

Menurut Mahadhir pula, mereka bagaimanapun mahu berpijak di bumi nyata apalagi industri muzik sekarang dikuasai bakat muda. Bagi mereka, tidak terdetik pun rasa mahu bersaing atau mengecap semula populariti sekelip mata.

Sebaliknya, mereka kembali dengan azam yang penuh kerendahan hati kerana percaya Urban Method sendiri masih perlu bekerja keras. Mereka enggan meletakkan harapan setinggi langit, cukup untuk tampil relevan dan kembali dikenali.

"Apabila bercakap mengenai strategi, dalam fikiran kami hanya untuk tampil dengan kualiti penghibur yang terbaik. Kami sebaiknya tidak mahu kemunculan kami dialu-alukan sebagai artis lama, sebaliknya simpan hajat berguru dengan artis baharu.

"Kami pun akur peminat lama mungkin dalam lingkungan umur kami juga. Jadi, kami akan cuba sesuaikan diri dan mengikut 'trend' dalam pasaran sekarang termasuk memanfaatkan media sosial seperti TikTok untuk tonjolkan diri.

"Selain menghargai sokongan daripada peminat sedia ada, kami sangat berharap mampu menarik pengikut baharu juga. Kami turut mengintai peluang untuk dapat bekerjasama dengan artis muda seperti K-Clique selepas ini," katanya.

Menariknya, Urban Method tidak hadir dengan tangan kosong sempena kemunculan kembalinya. Bahkan, mereka bakal menghadiahkan lagu baharu berjudul Domo Arigato yang dilancarkan pada hujung bulan ini.

Menurut Chique, lagu berkenaan adalah sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyokong mereka selama ini. Demi tampilkan kelainan, judulnya juga diambil daripada perkataan Jepun supaya tampak lebih unik.

"Sebagaimana misi mahu tampil segar dan buat kelainan, kami gunakan bahasa Jepun sebagai judul lagu baharu itu. Kami ingin membuatkan pendengar tertanya-tanya mengenai lagu itu dan lebih penting terhibur mendengarnya.

"Secara keseluruhan, lagu ini berkisar mengenai cerita peribadi mahupun kesusahan yang pernah kami alami dalam hidup. Semua orang pun pasti berdepan cabaran begitu dan ada cerita tersendiri masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Jay pula tidak menafikan mereka berdepan cabaran untuk kembali menyanyi secara profesional. Menurutnya, banyak aspek perlu mereka asah dan kaji semula demi mencapai kualiti diinginkan.

"Paling ketara semestinya bahagian nyanyian kami yang jelas sudah 'berkarat'. Kami terpaksa berlatih dari bawah semula untuk mendapatkan nyanyian yang bagus selain membuat latihan setiap hari," katanya.

Menurut Naweer pula, antara rujukan utama mereka demi menyesuaikan diri dengan pasaran terkini adalah tidak lain, Joe Flizzow. Dia mengakui aspek itu juga antara yang paling mereka titik beratkan.

"Joe Flizzow rujukan terdekat kami memandangkan dia benar-benar membuktikan diri sentiasa relevan. Kami juga bekerja keras mengkaji bagaimana corak muzik terkini untuk disesuaikan dengan genre hip hop yang kami perjuangkan," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2021 @ 6:30am
d