rap

Ayie Floor 88 kini suami orang

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 23, melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya, Nur Natasha Ahmad Nawawi atau Tasha, 22, di Masjid Ukay Perdana, Ampang, di sini, jam 10.20 pagi, hari ini.

Dengan sekali lafaz, Ayie sah bergelar suami selepas dinikahkan oleh bapa Tasha, Ahmad Nawawi Mad Nasir dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga pasangan pengantin.

Ayie berkata, dia bersyukur majlis pernikahannya berjalan lancar dan dipermudahkan walaupun agak gemuruh sebelum itu.

"Alhamdulillah, saya lega kerana akad nikah selesai dengan sekali lafaz saja. Insya-Allah, saya juga sudah bersedia memikul tanggungjawab baharu sebagai ketua keluarga.

"Saya terpikat dengan Tasha dan mahu memperisterikannya kerana dia sukakan budak-budak, pandai memasak dan menguruskan hal- hal rumah. Jadi, saya yakin semua itu akan mempermudahkan kehidupan kami nanti," katanya.

Pada majlis itu, Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,000 bersama gelang dan cincin emas tanpa wang hantaran.

Majlis resepsi pasangan pengantin akan berlangsung secara sederhana pada sebelah malam hari ini. Terdahulu, Ayie dan Tasha mengikat tali pertunangan mereka pada Januari lalu di Lanai Anggun, Eco Sky, Taman Wahyu, di sini.

Memandangkan banyak urusan kerja seninya yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebelum ini, Ayie dan isteri juga belum memikirkan perancangan berbulan madu.

Disiarkan pada: October 21, 2021 @ 3:02pm
d