rap

Naim Daniel dicalon dalam MTV EMA 2021

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Naim Daniel meluahkan rasa teruja dan bersyukur apabila namanya dicalonkan dalam kategori Best Southeast Asia Act di MTV EMA 2021 sekali gus mewakili Malaysia dalam acara hiburan berprestij itu.

Naim ketika dihubungi berkata, pencalonan dalam anugerah bertaraf antarabangsa itu adalah pencapaian terbesar dalam karier seninya.

"Alhamdulillah. Saya sendiri pun tak menjangkakan akan tercalon dalam MTV EMA 2021. Pada awalnya macam tak percaya. Ini satu pencapaian besar buat saya. Kalau menang itu adalah bonus. Kalau tak, ia masih lagi menjadi sesuatu yang membanggakan buat saya sebagai anak seni," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ia juga pengalaman berharga buatnya sebagai anak muda.

"Di situ, saya dapat lihat ada beberapa nama besar dan apa yang boleh saya katakan, ini adalah pengalaman baru dan berharga buat anak muda seperti saya," katanya.

Selain Naim, kategori sama turut menyenaraikan nama beberapa bintang iaitu SB19 dari Filipina, Ink Waruntorn (Thailand), JJ Lin (Singapura), K-ICM (Vietnam) dan Lyodra (Indonesia).

Selain itu, acara itu turut menampilkan pencalonan lain antaranya bintang-bintang bertaraf dunia seperti Ed Sheeran, Justin Bieber, Lady Gaga dan ramai lagi.

Disiarkan pada: October 21, 2021 @ 3:27pm
d