rap

Henti ikuti Instagram palsu isteri Fizo Omar

Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas akaun Instagram rasmi isteri pelakon Fizo Omar iaitu Fazeera Nazri Azrai diwujudkan, sudah banyak akaun palsu menggunakan nama dan gambar isterinya digunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Fizo, 36, atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar menerusi hantaran di Instagram Story meminta peminat supaya tidak mengikuti akaun yang tidak diketahui pemiliknya selain memberi amaran kepada individu yang tidak bertanggungjawab berhenti menggunakan nama orang lain demi kepentingan sendiri.

"Ini bukan Instagram rasmi isteri saya. Berhenti mengikuti individu yang entah siapa-siapa. Kepada yang berkenaan berhenti gunakan nama orang lain utk kepentingan peribadi!," katanya.

Tindakan Fizo membuat penjelasan itu sekali gus menghentikan kekeliruan ramai pihak susulan kewujudan beberapa akaun yang berkongsi detik hari pernikahan mereka sejak semalam.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, pengurus kepada Fizo iaitu Mimi mengesahkan pelakon itu mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya yang berusia 25 tahun itu di sebuah resort di Janda Baik, Pahang, kelmarin.

Majlis itu diadakan secara tertutup pada jam 10 pagi membabitkan keluarga kedua belah pihak.

Dalam pada itu, Mimi turut memohon kepada sesiapa yang menyebarkan akaun media sosial palsu Fazeera supaya berhenti berbuat demikian bagi mengelakkan kekeliruan.

Fizo pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mawar Karim pada November 2013. Bagaimanapun keduanya berpisah pada 10 Julai 2019.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 9:46am
d