rap

Tatakelakuan menjaga integriti industri hiburan tempatan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Sebanyak 29 syarikat, anggota gabungan serta 50 penggiat filem, TV dan penerbitan mengadakan inisiatif untuk berikrar menyokong satu Tatakelakuan bagi misi menjaga integriti industri hiburan tempatan.

Kerjasama Gabungan Pelakon Berintergriti Malaysia (Iman) dan Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) berikrar menyokong inisiatif itu yang meliputi hal-hal diskriminasi, gangguan dan buli dalam industri hiburan.

Ia diadakan berikutan kontroversi penyiaran program Rumah No 107 yang menimbulkan kemarahan ramai, baru-baru ini.

Dalam program itu, pelakon Fauzi Nawawi serta pengacaranya, Khir Rahman dan Shuk berbicara mengenai babak rogol membabitkan Fauzi dan pelakon, Raja Farah dalam filem Anak Halal secara terbuka dan terperinci sehinggakan dikatakan membuka aib pelakon wanita itu.

Pelakon Bront Palarae, 43, yang turut terbabit dalam gerakan ikrar Tatakelakuan itu berkata, inisiatif terbabit adalah titik mula memastikan industri hiburan lebih beretika dan selamat.

"Rasa marah dan kecewa semua sudah sedia maklum dan terpampang di media sosial. Apa yang lebih penting, kita gunakan isu ini untuk memperbaiki industri ini buat masa akan datang.

"Piagam yang diadaptasi daripada 'Code of Conducts & Standard Practice' ditetapkan Five Arts Centre ini menjadi titik permulaan dalam usaha menjadikan industri hiburan kita lebih selamat dan beretika.

"Kami berharap agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan persatuan-persatuan lain dalam industri memberi sokongan serta bersama kami menjayakan usaha ini," katanya.

Selain Bront, artis lain yang terbabit ialah Nam Ron, Datin Lisa Surihani, Jehan Miskin, Sofia Jane, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.

Mereka berikrar menggalakkan tindakan dan kelakuan khusus dalam setiap urusan profesional dan syarikat.

Ia ke arah memastikan pekerja profesional industri hiburan menunjukkan integriti, sikap saling menghormati dan tingkah laku yang sopan.

Tatakelakuan berkenaan haruslah didukung dan dilaksanakan selaras dengan pembangunan dan penambahbaikan industri filem, TV dan penerbitan di Malaysia.

Mereka juga mengesyorkan agar tatakelakuan itu diguna pakai dalam setiap urusan profesional oleh seluruh pihak berkepentingan dalam industri hiburan.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 12:25pm
d