rap

Kamal, Uqasha masih dalam proses  persiapan kahwin

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Kamal Adli yang akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) bermula 31 Oktober ini memaklumkan dia tidak akan berkahwin sehingga program itu selesai.

Kamal dalam wawancara ketika sidang media virtual program LCK3 berkata, dia dan pasangannya juga pelakon, Uqasha Senrose masih dalam proses persiapan.

"Sekarang, kami masih lagi buat persiapan (untuk perkahwinan). Jadi, kami belum ada masa akan berkahwin, bukan ketika program LCK3 masih berjalan ataupun selepas program ini tamat," katanya.

Dalam wawancara sama, Kamal beberapa kali diasak dengan soalan mengenai perkahwinan, namun cuba sedaya-upaya untuk mengelak daripada mengulas mengenai perkara itu.

Terdahulu, Kamal dan Uqasha mengikat tali pertunangan pada 4 April lalu dan sebelum itu, Kamal melamar Uqasha secara terbuka di program secara langsung, Anugerah Meletop Era 2020 pada Disember tahun lalu.

Dalam LCK3, Kamal akan berganding dengan pelakon dan pengacara, Ain Edruce di samping barisan juri tetap iaitu Ajai dan Mas Idayu.

Disiarkan pada: October 24, 2021 @ 3:27pm
d