rap

Zarina Zainuddin reda, wang RM900 milik anak tiba-tiba 'lesap'

Oleh Wartawan Harian Metro

Kuala Lumpur: Pelakon Zarina Zainuddin, 51, terkilan namun reda apabila wang sebanyak RM900 milik anaknya Azal, 25, 'lesap', baru-baru ini.

Zarina berkata, sebelum itu dia memberikan RM1,000 kepada Azal untuk kegunaannya.

Walaupun reda dengan nasib malang itu, dia tidak menafikan berasa sedih kerana ada individu sanggup mengambil kesempatan terhadap anaknya yang menghidap autisme itu.

"Saya sebak, tetapi betul-betul reda. Cuma sedih kerana Azal itu anak istimewa pun, ada orang terasa nak ambil (kesempatan). Bagi saya RM900 itu banyak.

"Selalunya kalau ke mana-mana, saya yang bayarkan tapi tempoh hari, dia minta berhenti di stesen minyak nak beli barang. Kemudian, dia tunjuk beg duit kata duitnya tinggal RM100.

"Saya tanya dia, terlupa di mana-manakah dan dia jawab memang dalam dompet itu saja duitnya. Saya kata, tak apa bukan rezeki kami dan bersangka baik sajalah," katanya.

Pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu nyata bersimpati dengan nasib malang menimpa anaknya apatah lagi wang itu diperoleh hasil kerja-kerasnya.

"Kasihan sebab dia kerja tapi orang lain ambil duit dia. Memandang dari sisi baik, mungkin orang yang ambil itu dalam kesusahan, tak tahu mungkin sudah ditakdirkan bukan rezekinya.

"Kita diajar tidak ambil duit orang, usik barang orang. Kalau nak, kena minta izin dulu," katanya.

Terdahulu, Zarina berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instagram Live dan meminta Azal reda serta menghalalkan wang yang hilang itu.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 3:02pm
d