rap

Pemergian Oddie Agam beri kesan buat Sheila Majid

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Datuk Sheila Majid melahirkan perasaan sedih dengan pemergian komposer terkenal Indonesia, Oddie Agam, hari ini.

Oddie, 68, yang dikenali dengan sentuhannya dalam penciptaan lagu popular menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi di Rumah Sakit Persahabatan, Jakarta akibat komplikasi buah pinggang.

"Kami amat berdukacita dengan khabar ini. Saya sudah lama mengenali arwah sebelum menjadi penyanyi lagi.

"Dialah pencipta lagu Indonesia pertama yang mengharumkan nama saya ke Indonesia dengan lagu-lagu seperti Antara Anyer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Tua Sebelum Waktu, Begitulah Cinta dan beberapa lagu lagi.

"Malah sebelum mengenali dia sebagai komposer, dia juga adalah rakan keluarga kami," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Menurutnya, dia amat bersedih dengan berita ini dan menganggap ia seperti sebahagian daripada karier muziknya juga sudah berakhir.

"Muzik kamu akan sentiasa bersinar di hati kami, Agam. Terima kasih untuk semua lagu indah yang kamu tulis. Semoga tenang di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkannya bersama orang-orang yang beriman.

"Al-Fatihah. Bintang itu sudah tiada tetapi cahayanya akan selamanya menyinari hati kita," tulisnya.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 8:11pm
d