rap

Lagu Poova ditolak masuk carta muzik tanpa alasan kukuh?

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Poova berkongsi pengalaman sedih dan kecewa apabila lagunya berjudul Karya ditolak daripada berada dalam satu carta muzik tempatan.

Poova ketika ditemui berkata, dia sendiri tidak diberikan alasan kukuh berhubung penolakan lagu ciptaan tiga komposer iaitu Omar K, Shazee Ishak dan Firdaus Rahmat yang didakwa tidak memenuhi kriteria.

"Pihak pengurusan saya ada menghantar lagu Karya untuk bertanding dalam satu cara muzik tempatan. Namun selepas beberapa ketika, mereka memaklumkan lagu saya tidak layak.

"Apabila ditanya, mereka memberi alasan bahawa lagu itu tidak menepati kriteria. Namun, saya tidak diberikan penerangan penuh mengenai kriteria apa yang mereka cari dan maksudkan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi yang sudah 10 tahun bertapak di dalam industri ini, dia menerima kritikan dengan terbuka dan akan memperbaiki kekurangan yang ada sekiranya dimaklumkan.

"Kalau mereka maklumkan apa kekurangan lagu Karya, mungkin ada ruang untuk saya dan pihak pengurusan memperbaikinya.

"Lagi pula, pencipta yang menghasilkan melodi dan lirik lagu Karya ini pun bukanlah komposer yang tidak dikenali," katanya.

Bagaimanapun, Poova tidak pernah berputus asa, bahkan dia akan terus mengorak langkah memperjuangkan karya-karya seninya.

Poova sebelum ini pernah memenangi beberapa anugerah di Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) antaranya kategori Artis Baru Terbaik AIM21.

 

Disiarkan pada: October 28, 2021 @ 9:36pm
d