rap

Rumah mewah menanti jessica

Oleh Najiy Jefri

PASANGAN selebriti Indonesia, Jessica Iskandar dan Vincent Verhaag selamat mendirikan rumah tangga pada 22 Oktober lalu sekali gus menyandang tanggungjawab baharu sebagai suami dan isteri.

Dalam satu temu bual, Vincent mengakui bahagia apabila dipertemukan dengan wanita idaman sebagai suri hidupnya.

"Saya berasa lega dan pada waktu sama saya bahagia kerana sah bergelar suami kepada Jessica.

"Jadi jika selepas ini ada kawan-kawan yang mengajak keluar, saya terpaksa menolak permintaan mereka kerana ada isteri di rumah," katanya.

Sebaik majlis pernikahannya selesai, kedua ibu bapa Vincent sempat memberikan nasihat supaya dia menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap anak dan isteri.

"Saya sudah diingatkan oleh ibu bapa untuk menjaga hubungan rumah tangga dengan sebaik mungkin. Mereka juga pesan supaya saya bertanggungjawab atas segala urusan.

"Papa juga sempat berpesan supaya saya lebih gigih bekerja dan fokus kepada kebahagaan rumah tangga. Ini kerana, jika terlalu sibuk dengan urusan kerja di luar, tidak baik untuk sesebuah perhubungan dalam rumah tangga," katanya.

Dalam pada itu, Jessica juga memberitahu yang dirinya tidak lari daripada pesanan dititipkan oleh ibu tercintanya.

"Mama saya beritahu, sekarang saya punya suami yang perlu diuruskan makan dan minumnya. Saya juga perlu menjaga segala kebajikan dan mengikut arahannya.

"Kalau dulu saya sudah terbiasa keluar sendiri tanpa minta kebenaran, tapi sekarang saya perlu beritahu suami terlebih dahulu," katanya.

Apa yang lebih menarik, Vincent sudah mempersiapkan sebuah rumah mewah tiga tingkat untuk isteri dan anak tirinya, El Barack Alexander.

"Konsepnya mewah supaya Jessica dan El dapat hidup selesa. Lagipun rumah ini nanti mungkin meriah dengan kehadiran adik kepada El satu hari nanti," katanya yang memilih untuk menetap di Bali, Indonesia.

Bercerita mengenai rumah mewah terbabit, Jessica menambah yang kediaman itu mempunyai kolam renang serta ruang pejabat.

"Selain itu ada juga gimnasium dan beberapa ruang lain dalam rumah ini. Saya jadi segan pula nak bercerita lebih takut dikata sombong," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2021 @ 6:35am
d