rap

'Saya dah bertudung, takkan nak pakai rambut palsu pula' - Zizi Kirana

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Zizi Kirana menepis dakwaan penerbit Datuk Rafiena yang mengatakan dirinya banyak kerenah bagi meneruskan penggambaran drama Jamu Nesan.

Susulan itu, Zizi yang turut didakwa melanggar kontrak, digugurkan daripada meneruskan watak Madam Zoora dan digantikan dengan penyanyi Didi Astillah.

Zizi, 36, berkata, dia tegas dengan pendirian tidak akan membuka tudung atau memakai rambut palsu semata-mata bagi melakonkan watak ketua mafia itu.

"Saya tidak pernah cakap tak nak berlakon atau teruskan penggambaran. Dari awal saya cakap nak buat sebab suka dengan watak dan cerita ini. Cuma perlu kena dengan penampilan saya yang sudah bertudung. Saya setuju ambil tawaran ini pun sebab ia dijangka habis sebelum Ramadan.

"Mengikut jadual asal yang sudah disusun pengarah pertama iaitu Datuk Seri Eizlan Yusof, penggambaran membabitkan watak saya habis dua hari sebelum Ramadan. Ketika itu saya memang masih belum bertudung. Namun, ketika masuk lokasi pengarah bertukar. Saya okay saja. Pada awalnya mereka ikut jadual yang sudah dibuat, tapi beberapa hari selepas itu, semuanya bertukar. Malah ada yang bertambah. Saya okay dan ikut saja. Tapi masih tak boleh habiskan bahagian saya sehinggalah penggambaran tertunda.

"Kemudian, saya dimaklumkan oleh pengurus mereka nak sambung penggambaran semula. Dalam masa sama pihak mereka tahu saya sudah pakai tudung. Dia (Rafiena) cakap risau juga tengok Instagram apabila saya sudah pakai tudung. Jadi, kami adakan mesyuarat secaradalam talian. Dia harap dapat selesaikan dan saya ingat ia diteruskan dengan penampilan saya ini.

"Saya diminta pakai rambut palsu. Saya minta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan perkara ini. Saya pula tidak mahu buka tudung dan mahu mereka sesuaikan watak itu dengan penampilan bertudung ini. Apa saya harapkan ketika itu semoga dia juga sama-sama faham situasi saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zizi, apa yang berlaku dianggap dugaan buatnya.

"Saya sedar apabila sudah pakai tudung memang akan berikan masalah dalam projek ini. Tapi takkan sebab itu saya nak kena ubah prinsip saya dengan buka tudung. Justeru itu saya mohon pemahaman. Lagi pula dia juga penulis skrip drama itu, jadi mungkin boleh tukar sedikit mengikut keadaan semasa. Malah, perkara sama juga dikatakan oleh mufti.

"Diakui apa yang berlaku ini buatkan saya sedih. Satu malam saya berfikir mengenai masalah ini. Apa pun, saya anggap ini dugaan. Tidak mengapalah jika itu tanggapan diberikan pada saya. Saya tak berdendam pun," katanya.

Sementara itu, pengurus Zizi dikenali sebagai Farah berkata, pihaknya sudah memaklumkan Zizi tidak berkelapangan sepanjang bulan ini selain turut memberikan tarikh yang lapang.

"Saya dimaklumkan babak membabitkan Zizi berbaki 17 hari lagi. Jadi, saya berikan tarikh yang Zizi lapang dan boleh 'shoot'. Lagipun sebelum itu saya sudah maklumkan dan berikan tarikh pada pengurus produksi (PM), tapi tiba-tiba mereka tukar PM pula.

"Berdasarkan tarikh diberi ada satu hari Zizi bertembung dengan program lain. Saya minta selaraskan, tapi dikata banyak songeh pula. PM baru itu juga cakap tak boleh sebab nak gunakan Zizi. Dia juga cakap urusan tarikh sebelum ini itu antara saya dengan PM yang lama.

"Mereka tukar PM bukan masalah saya. Tukar siapa pun dalam produkai itu, saya tak perlu ambil tahu. Saya hanya jaga artis saya sebab saya yang berurusan dari awal. Saya ada semua bukti," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2021 @ 2:31pm
d