rap

Saharul Ridzwan kenang detik melamar isteri

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Siapa sangka ketika diminta berdoa semasa meraikan sambutan hari jadinya pada 2016, Qaabila Deena Emir yang juga isteri pelakon, Saharul Ridzwan berdoa memohon dipertemukan jodoh secepat mungkin dan sebaik dia selesai berdoa, telefonnya berbunyi dan Saharul adalah orang yang menelefonnya.

Ini yang dikongsi Saharul, 31, mengenai pengalamannya sewaktu mula-mula dia mahu melamar Deena sebagai isterinya.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim berkata, dia adalah lelaki pertama yang muncul selepas isterinya itu memasang hajat ewaktu sambutan ulang tahun kelahirannya pada 2016.

"Sebelum dia menjawab panggilan saya, dia sedang diraikan sempena hari jadinya. Mereka meminta Deena berdoa dan dia meminta dipertemukan jodoh secepat mungkin. Selepas dia selesai membuat hajat dan berdoa itu, kebetulan saya pula telefon. Mungkin itu adalah petunjuk daripada Allah saya adalah jodohnya," katanya.

Saharul berkata, dia sudah mengenali isterinya beberapa tahun sebelum itu. Selepas beberapa tahun berkawan, mereka kemudiannya tidak berhubung seketika sebelum Saharul menyuarakan hasrat untuk memperisterikan Deena pada hari jadinya.

"Mengimbas kembali saat perkenalan dengan isteri, saya tidak berapa ingat kerana lama sangat. Rasanya kami bermula di Facebook. Apa yang menarik adalah saya melamarnya pada hari jadinya pada 12 Januari 2016.

"Hati saya terdetik mahu menghantar mesej selepas beberapa tahun tidak berhubung. Sebelum itu pun dia 'block' saya kerana berselisih faham. Kebetulan ketika saya mesej dia balas, kemudian saya terus buat keputusan untuk menelefon dia.

"Saya tanya sama ada dia sudah berkahwin dan mempunyai teman lelaki, apabila dia jawab tidak maka saya terus mengajaknya kahwin. Dia terus meletakkan telefon ketika itu," katanya ketika menjawab pertanyaan peminat mengenai detik perkenalan dengan Deena menerusi aplikasi Tik Tok.

Lamaran Saharul ketika sambutan hari jadi Deena itu akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin pada 16 September 2016.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Luth Ali, 4, dan Fateema Azzahra yang kini berusia setahun.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 12:23pm
d