rap

Caruman Perkeso berbaloi untuk artis dan kru produksi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Peruntukan RM188 juta yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 semalam, untuk merancakkan semula aktiviti industri kreatif disambut baik artis tanah air.

Malah, penyediaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi golongan artis juga satu lagi khabar gembira buat mereka.

Bagi pelakon Aeril Zafrel, dia berharap peruntukan itu diagihkan pada pihak yang betul dan bukan jatuh ke tangan orang yang salah.

"Peruntukan ini bagus untuk industri kreatif. Apatah lagi sepanjang hampir dua tahun ini ramai penggiat seni terkesan. Jadi, apabila sudah dapat bajet harapnya diagihkan dan digunakan sebaiknya. Kalau bukan untuk diberi sumbangan pun tapi dapat pada orang yang betul dan bukan 'kabel'. Risau jika diberi pada orang yang salah.

"Berkenaan Perkeso pula, tentunya ia sangat bagus. Berdasarkan pengalaman terdapat kru yang kemalangan di lokasi, pergi atau balik kerja. Kebanyakannya tak terbela. Kalau ada insuran peribadi okaylah, tapi kebanyakannya tidak ada sebab mereka bekerja secara bebas. Dengan adanya caruman ini ia lebih terjamin dan terbela. Sebab penggiat industri seni ini banyak bergantung harap pada projek," katanya.

Sementara itu, pelakon dan pengacara Zoey Rahman menyifatkan caruman Perkeso buat anak seni sesuatu yang bagus selain dapat meringankan beban.

"Peruntukan diumumkan Menteri Kewangan semalam buat industri kreatif dan caruman Perkeso adalah bagus dan sangat digalakkan. Dengan cara itu artis dapat perlindungan jika ada apa-apa berlaku. Jika ada pampasan dari Perkeso, dapatlah meringankan beban artis," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 2:59pm
d